RAKAMAN video aksi tembak menembak antara polis dan pemandu kereta jenis Proton Wira berwarna hijau mengundang tanda tanya selepas tular di media sosial sejak tengah hari Isnin. Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Kepong, Kuala Lumpur. Menerusi video berdurasi 14 saat itu, kelihatan tiga anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berlari mengejar kereta suspek sambil menghalakan pistol. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Kedengaran bunyi sembilan das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan tersebut, namun pemandunya enggan berhenti sebaliknya meneruskan pemanduan. Beberapa kenderaan awam yang berada di lokasi kejadian kelihatan 'memberi laluan'. Perkongsian yang dibuat pelayar Twitter Zolazrai Zolkapli itu mendapat pelbagai reaksi. Antara reaksi warga maya pada ruangan komen. "Kepong tembak menembak... view dari rumah kawan aku," ciapnya ringkas. Rata-rata warga maya meluahkan rasa terkejut melihat insiden berkenaan selain turut mempersoalkan kenapa pengguna jalan raya yang lain memberi laluan kepada kenderaan suspek. "Kenapa semua bagi jalan... semua sayang kereta. "Fuh! Dapat layanan VIP siap kereta bagi laluan lagi... nak kata lebih-lebih takut sama saja aku kalau kat situasi tu. Kalau aku jadi pemandu situ pun 'cuak' main dengan hujan peluru. "Kes berat ni sampai tembak... kenapa macam terlepas saja. Anggota URB menembak tayar kenderaan tersebut. "Tolong la block, kalau kereta kau rosak PDRM (Polis Diraja Malaysia) boleh bayar kerugian kau," luah beberapa warga maya. Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 7.45 pagi Isnin itu bermula dari Pintasan Segambut melalui Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong, Kuala Lumpur. "Hasil siasatan awal mendapati semasa anggota URB sedang membuat rondaan, mereka terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau dalam keadaan mencurigakan. "Oleh yang demikian anggota URB cuba memberhentikan kereta tersebut tetapi suspek bertindak melarikan diri dan telah melanggar kereta orang awam. "Suspek sebelum itu bertindak mengundurkan kenderaannya dan melanggar anggota URB sehingga mengakibatkan motosikal mengalami kerosakan dan kecederaan pada anggota terbabit. "Bagi mempertahankan keselamatan diri, kedua-dua anggota URB melepaskan sebanyak sembilan das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek dan menyebabkan kenderaan dinaiki terbabas di tepi jalan," jelasnya dalam kenyataan. Tambah beliau, identiti kedua-dua suspek sudah dikenal pasti, namun kedua-dua suspek berjaya melarikan diri. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307/ 353 Kanun keseksaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube