SEORANG jururawat pencen kerugian RM67,650 selepas terpedaya sindiket penipuan love scam di daerah Sibu, Sarawak. Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkifli Suhaili berkata, pengalaman pahit wanita berusia 56 tahun itu bermula pada pertengahan 2022 apabila dia berkawan dengan seorang lelaki bernama James Huong melalui Facebook. “Sekitar pertengahan tahun 2020, mangsa berkenalan dengan suspek melalui Facebook. “Suspek mendakwa dia berasal dari Amerika Syarikat dan bekerja sebagai arkitek serta mempunyai seorang anak kecil. “Suspek juga memberitahu dia akan datang ke Sibu untuk bertemu dan mengahwininya,” katanya. Pun begitu, pada 27 Oktober tahun lalu, mangsa diminta membantu membayar yuran persekolahan anak suspek di Amerika Syarikat kerana mendakwa masih bekerja di luar pesisir. "Akibat cinta, mangsa bersetuju memberikan RM7,000 kepada suspek. Suspek juga telah berjanji untuk membayarnya," katanya. Pada Mei tahun ini pula, mangsa telah dijanjikan hadiah berupa wang tunai dolar AS yang akan dipindahkan ke akaunnya sekali gus membuatkan dia berasa teruja. “Namun selepas membuat semakan, dia mendapati tiada wang dimasukkan ke dalam akaunnya seperti yang dijanjikan. “Suspek kemudian memberi alasan bahawa terdapat masalah dengan akaun itu dan dia perlu mendapatkan kebenaran Bank Negara untuk menerima dolar AS yang dimasukkan ke dalam akaunnya,” tambah Zulkifli. Dia diminta membuat pembayaran untuk membolehkan wang itu dipindahkan ke akaunnya. Mangsa kemudiannya akur dan membuat pembayaran secara berperingkat ke dalam tujuh akaun bank tempatan dari 11 Mei hingga 4 Ogos. Dia kemudian menyedari telah ditipu suspek selepas dimaklumkan oleh anaknya tentang perkara tersebut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube