PENCERAIAN bekas mak nyah dikenali sebagai Danny terus menjadi kontroversi apabila dia didakwa menipu mengenai status perkahwinan sebelum menikahi gadis bernama Nurazearah Fateha, 22, pada 15 Julai lalu. Dakwaan itu timbul selepas netizen 'menyelongkar' posting lamanya di TikTok yang mengaku merupakan seorang duda anak satu. Susulan itu netizen mendakwa status berkenaan menjadi punca rumah tangga yang dibina bersama Nurazearah Fateha atau Yan hanya bertahan selama dua minggu. Enggan membiarkan perkara itu terus menjadi bualan, Danny, 40, tampil menjelaskan hal sebenar di sebalik pengakuan yang dibuat pada 6 Ogos tahun lalu. Ujar Danny, pada ketika itu dia membuat pengakuan sebagai duda kerana mahu menjaga nama baik anak angkatnya dikenali sebagai Qaseh yang dibela sejak kecil. "Di sini saya ingin buat permohonan maaf. Saya menipu semua orang mengatakan saya ni adalah duda dan pernah berkahwin. "Sebenarnya tujuan saya dulu tu untuk elakkan kata-kata orang. Anak saya tu sebenarnya adalah anak angkat. "Saya selamatkan dia 13 tahun lalu. Saya sanggup mengatakan yang saya ni seorang duda untuk orang faham kononnya dia tu darah daging saya sendiri," ujarnya menerusi video di TikTok. Pengakuan Danny mengenai statusnya di TikTok pada 6 Ogos 2022. Bercerita lanjut, Danny berkata dia menjaga Qaseh dengan penuh kasih sayang seperti anak sendiri. Malah pemilik salon di Ampang, Selangor ini mendakwa dia juga berjaya menyelamatkan anak angkatnya itu daripada dijual di Thailand. Justeru tambah Danny, salah satu sebab dia berkahwin dengan Yan juga adalah demi memberi peluang kepada anak angkatnya itu merasai kasih sayang seorang ibu. "Niat saya bersih (baik), saya tahu saya lelaki tidak sempurna di mata semua. Saya minta maaf. Anda semua layak untuk menghukum saya. ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh bekas mak nyah, pengkid tak tahan lama... Danny cerai Yan lepas 2 minggu nikah ARTIKEL BERKAITAN: Danny nafi bercerai sebab kembali hidup sebagai mak nyah, mahu terus jadi lelaki sejati - “Mungkin ada kelemahan saya sebagai suami” "Benar, dia tak pernah rasakan kasih sayang seorang ibu. Perkahwinan ini adalah satu keikhlasan daripada hati saya untuk mencari ibu kepada anak perempuan saya. "Tapi hanya bertahan untuk dua minggu. Harini anak saya memberikan keizinan untuk memberitahu hal sebenar. Saya tidak perlu lagi menipu dan mengatakan dia merupakan anak kandung saya," katanya lagi. Dalam pada itu Danny turut memaklumkan dia menggunakan sijil pernikahan kakak sulungnya bagi mendapatkan hak penjagaan Qaseh secara sah mengikut perundangan. Malah Qaseh diberikan susu badan oleh kakak kandungnya sendiri. Sebenarnya tujuan (mengaku duda) dulu tu untuk elakkan kata-kata orang... anak saya tu sebenarnya adalah anak angkat. DANNY "Saya tahu dalam hukum Islam saya tak boleh menyentuh Qaseh kerana bukan mahram. Tapi anak saya sudah diberikan susu badan oleh kak long. "Saya pun sudah tanya Jabatan Agama Islam Selangor sebab kak long sudah susukan anak saya... jadi Qaseh tu sama seperti anak buah sendiri. "Saya mohon maaf sekali lagi dengan semua orang. Ini (bernikah dengan Yan) merupakan perkahwinan pertama saya. Saya ikhlas menjaga dan memperisterikan Yan," ujarnya lagi. Danny dan Yan berkahwin pada 15 Julai lalu. Bagaimanapun, video tersebut telah dipadamkan daripada akaun TikTok peribadinya. Terdahulu, perkahwinan Danny dengan Yan menjadi tumpuan ramai gara-gara status mereka sebelum ini yang dikenali sebagai bekas mak nyah dan pengkid. Pasangan berkenaan selamat diijabkabul pada 15 Julai lalu di Ulu Remis, Kluang, Johor, selepas lima hari mengenali antara satu sama lain. Namun rumah tangga mereka tidak bertahan lama kerana pada 30 Julai lalu Danny menceraikan Yan menerusi kiriman mesej di aplikasi WhatsApp. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube