suria

Tiga bas didakwa bawa pengundi hantu di Kedah rupanya dari Bukit Aman, Perlis

Bas didakwa bawa pengundi hantu di Kedah.

ISU pengundi hantu sekali lagi menjadi bualan hangat warga maya selepas tiga buah bas ditemukan berhenti berhampiran sebuah pusat pembuangan undi (PPU) di Kedah.

Menerusi rakaman video yang tular itu, pemandu salah sebuah bas 'ditahan' orang ramai di kawasan tersebut selepas dikatakan membawa pengundi hantu.

Malah individu yang merakam turut mendakwa, kawasannya tidak pernah dihadiri bas persiaran seperti itu.

Keadaan itu menyebabkan kekecohan berlaku dan orang ramai mengajukan soalan bertalu-talu kepada salah seorang pemandu yang tampil untuk menjernihkan keadaan.

"Tak pernah ada, tak pernah ada bas. Ini kali pertama, rekod dalam sejarah... tiga buah bas pula," katanya.

Berdasarkan klip tersebut, tiada maklumat diperolehi mengenai lokasi pusat pengundian tersebut, namun difahamkan berlaku di Kedah berdasarkan loghat percakapan pengguna Facebook itu.

Kejadian tular itu kemudiannya mendapat perhatian pihak polis.

Pun begitu, Polis Kedah menafikan dakwaan kononnya terdapat pengundi ‘hantu’ yang dibawa menggunakan bas ke negeri itu seperti ditularkan melalui sebuah klip video di media sosial termasuk TikTok dan Facebook.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, bas-bas yang terpampang dalam klip video itu merupakan kenderaan yang membawa sebahagian daripada 7,160 pegawai dan anggota polis yang bertugas di Kedah sempena pilihan raya negeri (PRN).

“Pagi tadi saya ada keluarkan kenyataan akhbar yang jelas menyebut terdapat 7,160 pegawai dan anggota polis bertugas di negeri ini sempena PRN dengan hampir 2,000 daripadanya datang dari luar Kedah antaranya Bukit Aman dan Perlis," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Sebelum

Artikel Lain