suria

“Ingatkan pertunjukan udara” - Orang pertama hubungi 999 nampak pesawat laju terbang mengiring sebelum terjunam

Pesawat terbang mengiring sebelum terjunam dan terhempas di Elmina pada petang Khamis.

“HANYA sekelip mata... sekitar lapan saat saya nampak pesawat itu sebelum bunyi dentuman yang sangat kuat.”

Demikian kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Shyahira, ketika berkongsi cerita mengenai detik-detik sebelum pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV yang terhempas di Elmina, dekat Denai Alam, Shah Alam, petang Khamis.

Shyahira adalah antara saksi terawal nahas pesawat berkenaan yang bertindak membuat panggilan kepada talian kecemasan 999, sejurus selepas insiden berlaku.

Mengimbas kembali detik mengerikan tersebut, Shyahira berkata ketika itu dia sedang memandu berseorangan melalui Lebuhraya Guthrie menuju ke Shah Alam.

elmina 2

Rakaman daripada kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang melalui jalan di loaksi kejadian.

"Waktu itu seingat saya hampir pukul 3 petang. Sewaktu memandu hampir sampai di Elmina, saya nampak sebuah pesawat berwarna putih terbang dari arah kiri ke kanan.

"Ia terbang dengan ketinggian yang rendah, secara mengiring dan sangat laju. Terlintas di fikiran, ini pertunjukan udara ke sebab terbang mengiring tapi nampak macam pesawat penumpang.

"Beberapa saat saja, ia menjunam dan serentak itu terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat, diikuti api marak menjulang dan asap hitam berkepul-kepul. Ia menjunam di sebalik bukit melepasi replika papan tanda 'Elmina'.

"Saya terus berhenti di lorong kecemasan dan membuat panggilan ke talian 999 untuk memaklumkan mengenai insiden tersebut," ujar wanita berusia 35 tahun itu kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mangsa nahas cuba tenangkan diri, sangka baik bukan pesawat dinaiki suami terhempas - “Anak sakit, dia 50-50 nak pergi”

ARTIKEL BERKAITAN: 10 individu termasuk Adun BN Pelangai maut, pesawat terhempas di Elmina 2 minit sebelum mendarat

Menurut Shyahira, dia membuat pusingan 'U' di hadapan untuk ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

"Sebaik saya sampai, polis sudah berada di lokasi dan memasang pita kuning di sekitar kawasan nahas.

"Saya hanya nampak sisa-sisa... ia amat dahsyat sehingga saya terfikir, bagaimana agaknya nasib mereka yang berada di dalam pesawat namun berharap agar dapat diselamatkan," katanya sambil menambah, dia meneruskan perjalanan ke Shah Alam tidak lama selepas itu.

Saya rasa macam bermimpi... inilah perkara paling ngeri yang saya saksikan depan mata.

SHYAHIRA

SAKSI

Tambah wanita ini, kejadian tersebut masih lagi terbayang-bayang di hadapan matanya biarpun hanya menyaksikannya sekadar beberapa saat.

"Saya rasa macam bermimpi... Inilah perkara paling ngeri yang saya saksikan depan mata," akhirnya.

Terdahulu mStar melaporkan sebuah pesawat kecil terhempas di Elmina, dekat Denai Alam, Shah Alam pada Khamis petang.

Pesawat yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn. Bhd. itu bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah, pada pukul 2.08 petang, dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

elmina 3

Bangkai pesawat yang terhempas di Elmina.

Seramai 10 individu termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, maut dalam nahas tersebut.

Allahyarham adalah antara lapan individu yang menaiki pesawat ringan berkenaan.

Dua mangsa lain yang terlibat adalah seorang penunggang motosikal dan pemandu sebuah kereta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) memaklumkan mayat kesemua mangsa pesawat ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan berkecai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain