suria

[TERKINI] 10 individu termasuk Adun BN Pelangai maut, pesawat terhempas di Elmina 2 minit sebelum mendarat

Identiti mangsa kejadian pesawat terhempas di Elmina sedang dikenal pasti. Foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star

SERAMAI 10 individu termasuk seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Pahang dikhuatiri maut selepas sebuah pesawat kecil terhempas di Elmina, dekat Denai Alam, Shah Alam pada Khamis petang.

Mangsa terlibat terdiri daripada lapan individu yang menaiki pesawat ringan berkenaan selain dua mangsa yang menaiki sebuah motosikal dan kereta.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

"Pesawat yang terhempas itu dalam proses untuk landing... dua minit dalam proses untuk landing namun hilang kawalan dari menara," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menerusi Instagram berkongsi foto hitam putih bersama Adun Pelangai daripada Barisan Nasional, Datuk Seri Johari Harun.

WhatsApp Image 2023-08-17 at 5.24.58 PM

Foto tular kelihatan Johari (kiri) sebelum insiden pesawat terhempas.

"Berita yang menyedihkan, YB Datuk Seri Johari Harun, Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Umno Bahagian Bentong kembali ke rahmutullah, terlibat di dalam nahas pesawat terhempas di Elmina Shah Alam.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Alfatihah," katanya.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut mengesahkan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV telah terhempas pada petang Khamis.

Pesawat yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn. Bhd. itu bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah, pada jam 2.08 petang, dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat terhempas di Shah Alam, tiga dikhuatiri maut termasuk seorang penunggang motosikal

Komunikasi pertama yang dibuat oleh pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada 2.47 petang dan pelepasan pendaratan diberikan pada 2.48 petang.

Pada 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang menyedari kepulan asap dari lokasi nahas.

Pusat Penyelarasan Penyelamat AeronautikKuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan untuk menyelaraskan misi mencari dan menyelamat.

Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain