suria

Sayap mungkin punca pesawat terhempas - Pakar aeroangkasa

Ahmad Samsuri mengulas tentang nahas pesawat di Elmina.

PAKAR aeroangkasa yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis berkemungkinan daripada masalah pada sayap.

Merupakan bekas ketua jabatan aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), analisa awal yang dibuat di halaman Facebook rasminya adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh.

Menurutnya, kegagalan pesawat boleh berpunca daripada pelbagai masalah mahupun isu tunggal atau gabungan pelbagai masalah seperti daripada isu penyelenggaraan dan kegagalan integriti struktur pesawat (tegasan struktur dan keletihan kitaran).

"Selain itu, ia berkemungkinan juga disebabkan kegagalan enjin, isu kawalan penerbangan, masalah avionik, faktor manusia dan lain-lain.

Antara dokumen yang ditemui di lokasi nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina. -Gambar The Star/Zulfadhli Zulkifli

Antara dokumen yang ditemui di lokasi nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina. -Gambar The Star/Zulfadhli Zulkifli

"Melihat daripada bukti visual sahaja (dalam bentuk rakaman kamera papan pemuka yang mempunyai had) yang tersedia untuk kita semua, saya akan cenderung untuk percaya bahawa isu yang dihadapi adalah lebih kepada 'kawalan penerbangan'.

"Lebih kepada masalah pada sayap, mungkin sama ada pada kegagalan aileron atau gabungan kedua-dua kemudi dan lif," ujarnya.

Pun begitu, beliau menyatakan masih banyak maklumat yang diperlukan untuk menentukan punca kemalangan berlaku antaranya siasatan di tapak kemalangan, bahagian dan serpihan pemeriksaan mikro atau makro.

Selain itu, katnaya, analisis kotak hitam penerbangan, analisis MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) juga diperlukan di samping pelan penerbangan dan sisihan, berat serta analisis bahan api jet.

Ahmad Samsuri turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas itu.

"Takziah kepada keluarga mangsa daripada kita semua di Terengganu. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah SWT," katanya.

Pesawat jet perniagaan ringan Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terbang dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang terhempas kira-kira jam 2.50 petang Khamis, mengorbankan kesemua enam penumpang dan dua anak kapal.

Dua lagi mangsa adalah orang awam, seorang penunggang penghantaran dan dan seorang pemandu kereta yang kebetulan lalu di tempat kejadian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain