SEORANG pelatih juruterbang wanita berdepan detik cemas selepas pesawat Piper 28 yang dikendalikannya hilang kawalan ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, Melaka, Jumaat. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian membabitkan pesawat International Aero Training Academy Sdn Bhd (IATAC) berlaku pada jam 12.16 tengah hari. “Berdasarkan laporan, pesawat bernombor pendaftaran 9M-ITQ itu yang dikendalikan pelatih berusia 23 tahun sebelum itu dalam latihan penerbangan. Keadaan pesawat yang dikendalikan juruterbang wanita pelatih. “Ketika melakukan pendaratan, pesawat terbabit dikatakan hilang kawalan di landasan RWY 21,” katanya. Christopher berkata, susulan kejadian, juruterbang pelatih terbabit dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut. “Bagaimanapun dilaporkan tiada kecederaan dialaminya dan dia hanya berasa sakit di bahagian dada akibat kesan hentakan. “Selain itu, pesawat terbabit juga sudah berjaya dikeluarkan sepenuhnya dari lokasi kejadian pada jam 12.50 tengah hari,” katanya. Pada Khamis, sebuah pesawat persendirian terhempas di Elmina dekat Denai Alam, Shah Alam Selangor selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah, pada pukul 2.08 petang dan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Seramai 10 individu termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, maut dalam nahas tersebut. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube