BAPA kepada Heikal Aras iaitu juruterbang yang maut dalam nahas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis akan menggalas tanggungjawab sebagai penjaga kepada ketiga-tiga cucunya. Abdul Azim Aras, 76, berkata arwah anaknya merupakan seorang bapa tunggal dan telah bercerai selama empat tahun. "Pada masa ini, ketiga-tiga cucu di bawah jagaan keluarga saya mengikut keputusan Mahkamah Syariah. "Tapi kalau ibu mereka nak datang tengok, boleh juga" ujarnya ketika dihubungi mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Sekeluarga tahu rider selalu di Elmina, tak terfikir jadi mangsa nahas tapi kakak tak sedap hati ARTIKEL BERKAITAN: Merangkak sebut Allah sambil minta tolong, saksi terkilan, tak boleh tidur gagal selamatkan rider Abdul Azim berkata, selepas tragedi mengejutkan yang mengorbankan nyawa anaknya itu dia tidak melihat urusan untuk membesarkan ketiga-tiga cucunya itu sebagai satu masalah kerana selama ini mereka anak-beranak tinggal berdekatan di Desa Pinggiran Putra, Dengkil. "Rumah kami sekeluarga dekat sahaja, belakang rumah saya ialah rumah arwah manakala adiknya di sebelah. "Jadi memang anak-anaknya membesar bersama di sini. InsyaAllah tak ada masalah untuk menjaga mereka," ujarnya yang merupakan bekas wartawan Utusan Melayu. Anak sulung dan bongsu arwah Heikal Aras ialah lelaki dengan masing-masing berusia 13 dan tujuh tahun, manakala anak keduanya perempuan, berumur 10 tahun. Apa yang berlaku tu dah ketentuan, jadi nak buat macam mana dah memang ajal. ABDUL AZIM Menurut Abdul Azim lagi, anak sulung mangsa dapat memahami insiden menimpa bapanya dan dia reda dengan takdir menimpa walaupun bersedih. "Yang perempuan ni, dia faham tapi paling terkesan sebab dia sangat rapat dan selalu bersama dengan ayahnya pergi ke mana-mana. "Si bongsu yang kecil sekali ni tak memahami apa yang berlaku lagi... masih berlari-lari," luahnya. Abdul Azim yang mempunyai dua lagi anak berkhidmat sebagai juruterbang tidak menyalahkan kerjaya tersebut sebaliknya menegaskan ia adalah ketentuan Allah. "Kerja Tuhan, banyak pahala dalam berkhidmat... lagipun tugas pilot lagi selamat daripada kerja di bawah (darat) ini. Arwah merupakan anak kedua daripada lima beradik. - Gambar Facebook Christine Yong "Apa yang berlaku tu dah ketentuan, jadi nak buat macam mana dah memang ajal," luahnya kepada mStar. Sementara itu, bekas isteri arwah turut meluahkan kesedihannya menerusi perkongsian beberapa gambar kenangan yang divideokan dan dimuat naik ke halaman Facebook miliknya. Menerusi kapsyen, dia turut meminta orang ramai untuk berhenti membuat spekulasi berhubung insiden tersebut kerana akan memberi kesan kepada anak-anaknya. "Terima kasih atas pemikiran dan doa yang baik. Tolong hentikan semua spekulasi kerana ini memberi kesan kepada anak-anak dan keluarga yang melalui masa sukar saat ini. Antara gambar yang dikongsikan Christine Yong bersama arwah dan bekas mentuanya. -Gambar Facebook "Saya akan berkongsi lebih lanjut mengenai arwah, buat masa ini sila fahami ruang yang kami perlukan terutamanya anak-anak. "Dia 'terbang lebih tinggi' sekarang, berehatlah Heikal. Anak-anak sangat merindui awak," coretnya. Pada Khamis, sebuah pesawat persendirian terhempas di Elmina dekat Denai Alam, Shah Alam. Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah, pada pukul 2.08 petang, dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Seramai 10 individu termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, maut dalam nahas tersebut. Johari adalah antara lapan individu yang berada dalam pesawat berkenaan. Dua mangsa lain yang terbabit adalah seorang penunggang motosikal dan pemandu sebuah kereta. Hanya satu daripada 10 mayat mangsa nahas pesawat jenis BeeChcraft Model 390 (Premier 1) itu ditemukan dalam keadaan sempurna, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. Bercakap pada sidang media, beliau berkata, kesemua mangsa terdiri daripada dua kru pesawat, enam penumpang, seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube