suria

Nahas pesawat Elmina: Jenazah mangsa dijangka dikeluarkan paling awal 21 Ogos

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang akhbar di lokasi kejadian. -Gambar The Star/Kamarul Ariffin

MAYAT mangsa nahas pesawat Elmina boleh diserahkan kepada keluarga mereka paling awal pada Isnin (21 Ogos), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Pada taklimat bersama keluarga mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor pada Jumaat (18 Ogos), Razarudin berkata ujian DNA yang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa akan mengambil masa.

"Kita perlu memberi peluang kepada Jabatan Kimia untuk melakukan bahagian mereka," katanya.

Beliau turut menasihati waris supaya pulang ke rumah atau ke tempat penginapan masing-masing daripada menunggu di hospital.

“Apabila proses itu selesai. Kami akan panggil,” tambahnya.

Pada Khamis (17 Ogos), 10 lelaki terbunuh termasuk dua pengguna jalan raya selepas sebuah pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berhampiran Lebuhraya Guthrie, pada 2.50 petang.

ADUN Pelangai dan Exco Pahang Datuk Seri Johari Harun antara yang terkorban.

Padanan DNA masih diteruskan kerana pihak berkuasa telah mengumpul sampel DNA daripada 22 ahli keluarga mangsa untuk mengenal pasti mayat.

Bagaimanapun, Razarudin berkata pemadanan DNA dengan mayat yang ditemui dari lokasi nahas akan mengambil masa antara tiga hingga empat jam bagi setiap orang.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Razarudin juga berkata proses mengambil mayat mangsa di lokasi nahas di Elmina telah selesai.

Susulan itu, beliau berkata laluan trafik di sekitar lokasi nahas telah dibuka semula setakat jam 3 petang.

Mengenai proses pengebumian, Razarudin berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersedia untuk menghantar jenazah ke kampung halaman masing-masing serta menyempurnakan upacara pengebumian.

“Kami mempunyai 10 van bersiap sedia dari JAIS dan polis akan mengiringi keluarga berkenaan,” katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain