suria

Pakar, pasukan penyiasat penerbangan AS tiba Isnin untuk periksa serpihan pesawat

Anggota polis dan Bomba menjalankan kerja-kerja mengalihkan serpihan pesawat. -foto THE STAR

PASUKAN pegawai dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan pakar penerbangan dari Amerika Syarikat akan menjalankan pemeriksaan serpihan pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada Isnin (21 Ogos).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi The Star berkata, pemeriksaan serpihan pesawat oleh pasukan tersebut merupakan sebahagian daripada proses siasatan punca nahas.

"Bagi pihak kita, polis telah selesai mengeluarkan semua mayat dan barangan peribadi.

"Perakam suara kokpit (CVR) juga telah dijumpai dan semua bukti di tempat kejadian telah ditandakan," katanya.

Serpihan itu akan berada di bawah pengawasan polis sepanjang masa, sehingga penyiasat tiba di tempat kejadian pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang terlibat nahas dah 4 tahun menduda, bapa akan jaga tiga cucu - “Yang perempuan paling terkesan, bongsu belum faham”

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Shah Alam, Samsol Maarof Saibani berkata lokasi nahas di Persiaran Elmina telah dibersihkan.

"Polis telah mengarahkan operasi mencari mayat dan serpihan pesawat dihentikan.

"Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan tiga jentera Bomba untuk membersihkan jalan di kedua-dua arah.

"Selepas jalan dibersihkan, kami akan diberi kebenaran oleh polis untuk membuka semula semua jalan itu petang ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Tambahnya, minyak dan bahan api yang tertumpah di jalan raya telah dibersihkan sepenuhnya.

Dalam nahas pada Khamis, 10 mangsa termasuk lapan penumpang di atas pesawat terkorban selepas ia terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain