suria

Kepala anak kena lepuk, ibu kata “itu pun nak jadi isu”... Sanusi tak perlu minta maaf

Tangkap layar video tular menunjukkan Sanusi mengetuk kepala seorang pelajar.

SEORANG wanita dipercayai ibu kepada pelajar yang kepalanya diketuk dengan kertas oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta agar isu tersebut tidak dipanjangkan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi ruangan komen di TikTok milik sebuah syarikat media tempatan, di mana pengguna @MCSyalwa menyatakan bahawa Sanusi tidak perlu meminta maaf berikutan insiden tersebut.

“Tak perlu minta maaf MB (Menteri Besar), kami sekeluarga okay je. Anak kami okay, tak sakit, patah pun. Kami melawak sesama kami, itu pun nak jadi isu.

"Sudah-sudahlah. Hidup dengan aman hampa (kamu semua) oi. Buat apa mensensasikan perkara yang tidak betul.

"Kami pihak ibu bapa dan anak tiada apa-apa isu pun. MB baik je, melayan kami walaupun penat berbasikal," katanya menerusi hantaran di TikTok pada Selasa.

Bagaimanapun, semakan mStar mendapati komen tersebut telah tiada dalam akaun TikTok tersebut, dipercayai telah dipadam namun sempat disebarkan oleh beberapa platform media sosial lain.

Komen wanita yang dipercayai ibu pelajar tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz dalam satu ciapan di Twitter berkata, tindakan Sanusi itu sangat tidak beradab.

"Jagalah kehormatan orang ramai. Nak bergurau, jaga adab. Lagi-lagi pemimpin berpangkat besar macam Menteri Besar.

"Pemimpin besar buat, pengikut akan ikut sekali. Jangan normalisasi semua benda sebagai jenaka. Tunjukkan sedikit rasa hormat @SanusiMNor," tulis Amira dalam ciapannya.

Video berdurasi 18 saat menunjukkan Sanusi memukul pelajar perempuan itu pada Sabtu telah tersebar di media sosial.

Pengarah Komunikasi Pusat Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Noraini Nordin juga menggesa Sanusi memohon maaf atas tindakannya itu kerana ia merendahkan dan mengaibkan gadis itu.

Menjawab pengkritiknya, Adun Jeneri itu berkata dia hanya bergurau dengan pelajar itu kerana lambat memohon bantuan.

Bagaimanapun, Sanusi mempertahankan tindakannya memukul gadis berkenaan dengan sehelai kertas pada Sabtu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain