suria

Wanita maut kereta digilis lori, ambil masa 2 jam dikeluarkan dari kenderaan tersepit

Perodua Bezza dipandu seorang wanita digilis lori.

SEORANG wanita berusia 26 tahun maut apabila kereta Perodua Bezza dipandunya digilis lori dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di jalan bertingkat Lido di Jalan Lintas, Kota Kinabalu, Sabah pada petang Selasa.

Dilaporkan, mangsa, Nicolette Hannah George, yang berasal dari Kampung Babah, Penampang itu merupakan pekerja syarikat swasta di Kepayan 88 dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tujuh kenderaan.

Katanya, kenderaan terbabit adalah dua lori dan lima kereta masing-masing jenis Perodua Bezza, Myvi, Toyota Vios, Proton Saga dan Iriz.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori melanggar sebuah kenderaan di hadapannya hingga menyebabkan kenderaan yang paling belakang tersepit di bawah lori.

"Akibat kejadian itu, pemandu kereta Perodua Bezza tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Tambahnya, pihak polis belum menerima laporan daripada mangsa lain yang terbabit sama ada cedera ataupun tidak.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

"Bomba menggunakan peralatan khas dengan dibantu penarik kereta bagi memudahkan urusan mengeluarkan mangsa.

"Pasukan bomba mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan akhirnya berjaya dikeluarkan," ujarnya lagi. -BH

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain