suria

Demi kekasih! Wanita ‘mabuk cinta’ buat laporan palsu, dakwa anak didera kena langgar lori

Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun maut akibat didera ibu dan kekasih.

GARA-GARA ingin menyembunyikan laporan perubatan yang mendapati kecederaan dialami anak berumur lima tahun maut akibat didera, seorang ibu sanggup berpakat dengan teman lelakinya untuk membuat laporan polis palsu.

Malah dia mendakwa anaknya meninggal dunia selepas dilanggar lori.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang merawat kanak-kanak itu pada 12.50 tengah malam, 22 Ogos lalu.

"Ketika menerima pesakit kanak-kanak itu, pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan jantung dan pernafasan, namun tiada respons positif.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan daripada maklumat awal, dia dikatakan dilanggar lori.

"Namun, pemeriksaan lanjut pada tubuh badannya mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki akibat didera, manakala keputusan bedah siasat mangsa mengesahkan terdapat kecederaan parah pada tisu lembut ekoran beberapa pukulan objek tumpul," katanya dalam kenyataan.

Anbalagan berkata, susulan itu, pihaknya menahan ibu mangsa, 44, yang juga suri rumah dan teman lelaki berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori, pada 22 Ogos lalu.

"Suspek wanita didapati menjalin hubungan dengan lelaki berkenaan sejak suaminya meninggal dunia pada September 2022," katanya.

Menurutnya, pasangan itu membuat laporan polis palsu mendakwa kanak-kanak terbabit dilanggar lori bagi mengelak perbuatan mereka diketahui.

"Lori terbabit (yang didakwa melanggar mangsa) adalah kenderaan dilapor dicuri di Kajang.

"Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku mendera mangsa di kediaman mereka di sebuah pangsapuri di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan sehingga menyebabkan kematian.

"Kejadian itu juga berpunca daripada tabiat suspek yang suka mendera anak," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin dan amphetamin.

Katanya, mereka direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain