GARA-GARA pesanan minuman lambat dihantar, seorang lelaki dipercayai mabuk membelasah seorang wanita pemilik gerai menggunakan topi keledar dan cota di Sentul, Kuala Lumpur, awal pagi Sabtu. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata kejadian kira-kira jam 6 pagi ketika gerai makanan di Jalan Perhentian Haji Salleh itu sedang bersiap memulakan perniagaan. "Memandangkan gerai baru sahaja dibuka, pekerja gerai berkenaan menjelaskan pesanan tidak dapat dibuat dengan segera menyebabkan suspek bertindak memaki hamun. "Suspek beredar selepas pesanannya diterima, namun kembali semula 30 minit kemudian dan memaki hamun mangsa yang juga pemilik premis dengan perkataan kesat. "Malah suspek bertindak memukul kepala pekerja gerai terbabit menggunakan sebatang penyapu," katanya dalam satu kenyataan. Menurut Sukarno, mangsa yang juga seorang warga tempatan berusia 44 tahun kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 8.03 pagi. Katanya lagi, selesai sahaja membuat laporan iaitu kira-kira pukul 8.30 pagi, suspek sekali lagi datang ke premis bersama seorang rakan dan menyerang pengusaha dan pekerja gerai makan terbabit. "Suspek memaki hamun mangsa dan pekerjanya serta bertindak merosakkan peralatan di gerai tersebut. Mangsa yang ketakutan terus menghubungi talian 999. "Sepasukan anggota kereta peronda (MPV) dihantar ke tempat kejadian dan berjaya memberkas kedua-dua suspek di kedai bersebelahan lokasi kejadian," katanya. Ahmad Sukarno berkata, polis merampas beberapa objek dipercayai digunakan dalam kejaduan itu termasuk cota, topi keledar berwarna biru. Tambahnya, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau manakala seorang lagi tiada rekod. "Ketika kejadian, suspek berkenaan dipercayai di bawah pengaruh alkohol. "Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan) dan 427 Kanun Keseksaan (perbuatan khianat)," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube