suria

Kerajaan Perpaduan kekal! Lafaz taklik cerai isteri talak 3 tak boleh ditarik balik, perlu failkan di mahkamah syariah

Mohd Na'im meminta individu tersebut mahupun isterinya untuk hadir ke mahkamah syariah.

“ISTERI tidak boleh dijadikan objek, barang pertukaran atau sebab kepada sesuatu taklik,” tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata demikian susulan lafaz taklik seorang individu yang mahu menceraikan isterinya talak tiga sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan hingga Ogos.

Malah katanya, berlandaskan sudut hukum, ungkapan taklik yang telah dinyatakan itu tidak boleh ditarik balik.

Jelas beliau lagi, di bawah peruntukan undang-undang telah menggariskan bahawa mana-mana permohonan untuk mengesahkan taklik perlu difailkan di mahkamah syariah kerana ia diperuntukkan dalam enakmen semua negeri.

Seorang lelaki membuat lafaz taklik berhubung Kerajaan Perpaduan pada Februari lalu.

Seorang lelaki membuat lafaz taklik berhubung Kerajaan Perpaduan pada Februari lalu.

"Jadi dinasihatkan kepada isteri atau suami terbabit untuk memfailkan permohonan di mahkamah bagi mengesahkan penceraian tersebut.

"Hanya hakim syarie di mana pasangan terbabit bermastautin sahaja yang boleh menentukan sama ada taklik tersebut jatuh ataupun tidak," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau pada Jumaat.

Mohd Na'im berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbuatan seorang lelaki pada Februari lalu yang memaklumkan dia bertaklik menceraikan isterinya talak tiga jika Perdana Menteri dan kerajaan tidak bertukar pada Ogos.

Isu itu tular di media sosial dan menjadi persoalan ramai sama ada talak ke atas isterinya jatuh atau tidak selepas berakhirnya bulan Ogos.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, apabila taklik dikaitkan dengan penceraian dengan talak tiga kepada seorang isteri, ia perkara yang amat tidak bertanggungjawab.

"Isteri sepatutnya dinaikkan martabat. Islam sendiri telah menaikkan taraf seorang isteri dan wanita," tambahnya.

Sehubungan itu, Mohd Na'im menasihatkan agar golongan suami perlu bertanggungjawab dengan tidak melibatkan maruah isteri dalam lafaz jika bertaklik.

"Yang kedua, kalau nak mengesahkan sesuatu lafaz sama ada jatuh atau tidak jangan rujuk kepada pihak yang ketiga.

"Yang boleh menentukan sama ada lafaz itu jatuh atau tidak adalah hakim mahkamah syariah di mana pasangan itu bermastautin," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain