suria

Bapa Mondy Tattoo menangis depan Ustaz Derry, mohon maaf kepada Ebit Lew - “Saya bodoh, jadi bingung”

Ustaz Derry membuat satu siaran langsung bersama bapa Mondy di TikTok.

KONTROVERSI dicetuskan warga Indonesia dikenali sebagai Mondy Tattoo terus berpanjangan apabila kini seorang lelaki yang mengaku sebagai bapa wanita berkenaan tampil bersuara.

Menerusi satu rakaman siaran langsung yang tular di media sosial, lelaki itu membuat permohonan maaf kepada personaliti dakwah Ebit Lew atas sikap anaknya.

Sambil menangis hiba, lelaki itu dilihat berinteraksi menerusi live di TikTok dengan sahabat Ebit yang juga pendakwah dari Indonesia, Ustaz Derry Sulaiman.

Ustaz Derry tampil mempertahankan sahabatnya, Ebit.

"Saya nak minta maaf dengan ustaz Ebit kerana tingkah laku dan tutur kata tidak sopan (Mondy). Tolong sampaikan kepada ustaz Ebit yang telah membantu keluarga saya walaupun saya tak menerima (bantuan) daripada anak sendiri.

"Saya cuma doakan supaya anak saya Mondy dalam keadaan sihat selalu.

"Dekat sini (rumah) orang tua dia cuma boleh doakan dia saja pak ustaz (ustaz Darry). Saya tak minta apa-apa pada anak saya. Semuanya untuk kamu (Mondy) dan keperluan anak kamu," katanya dalam video tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:Caprice persoal reaksi sahabat Ebit Lew padam bukti chat Mondy Tattoo... “Kami akan ambil tindakan di Indonesia”

ARTIKEL BERKAITAN: Sahabat Ebit Lew tunjuk bukti Mondy Tattoo bohong! Kongsi mesej Whatsapp - “Saya cuma mahukan wang”

Tambah lelaki itu, dia berasa kecewa kerana tidak mampu berbuat apa-apa bagi meredakan kemelut yang dicetuskan anaknya.

"Saya sebagai orang bodoh, tidak mampu, mohon maaf atas perlakuan Mondy. Mungkin anak saya dalam tekanan atau diguna oleh orang tidak bertanggungjawab.

"Saya jadi bingung. Saya sudah bercakap dengan orang yang membawa dia ke Malaysia, katanya jangan risau dan khuatir," katanya lagi.

Caprice cuba untuk membela nasib Mondy.

Kekecohan tercetus selepas Mondy tampil menerusi temuramah di ‘podcast’ bersama penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice dan mendakwa dia menjadi mangsa gangguan seksual dan mengaitkan Ebit dalam perlakuan itu.

Namun pada Selasa Ustaz Derry tampil mendakwa segala tuduhan Mondy terhadap Ebit adalah bohong semata-mata.

Berikutan itu juga Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata pihaknya akan memanggil Caprice dan Mondy Tattoo bagi membantu siasatan berhubung laporan dakwaan fitnah terhadap pendakwah Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew.

Polis turut mengesahkan satu laporan telah dibuat Ebit di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya pada pagi Isnin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain