TINDAKAN seorang penunggang motosikal yang merempuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika sekatan jalan raya (SJR), Ahad lalu membawa padah apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Port Dickson, Negeri Sembilan. Menerusi perbicaraan pada Khamis, Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Khairul Azwa Azizi, 25, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa. Tertuduh dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguatkuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29, ketika dia menjalankan fungsi amnya. Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Dia juga bakal berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan. ARTIKEL BERKAITAN: Langgar anggota JPJ sampai terpelanting! Mat rempit Y125ZR rupanya tiada lesen, insuran Tidak diwakili mana-mana peguam, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum kerana dia menanggung seorang anak. Malah, isterinya kini sedang mengandung dan dia juga telah diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan. Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang awam. Untuk rekod, mStar pada Ahad lalu melaporkan seorang anggota JPJ cedera selepas dia dilanggar penunggang motosikal yang merempuh SJR di KM23 Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH) Hala Port Dickson. Penunggang motosikal itu mempunyai beberapa kesalahan, antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insuran dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube