suria

Bayi dua bulan maut di pusat jagaan, pengasuh warga asing ditahan bantu siasatan

Suspek ditahan di bawah Kanun Keseksaan. -Gambar hiasan The Star

SEORANG pengasuh ditahan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah pusat jagaan di Kota Damansara, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berusia 40-an itu ditahan sekitar pukul 3 petang Jumaat.

“Pengasuh itu warga asing, berkahwin dengan lelaki tempatan.

"Dia ditahan dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan," katanya ketika dihubungi The Star pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata polis masih menunggu laporan bedah siasat.

Beliau menggesa orang ramai memberi ruang kepada polis untuk menyiasat perkara itu secara menyeluruh.

Mangsa Qaseh Aulia Faizul dihantar ke pusat asuhan pada Selasa (10 Oktober), kata bapanya Faizul Ali Adam dalam video tular.

Faizul berkata sejurus selepas itu, dia menerima panggilan daripada pusat berkenaan memaklumkan anak perempuannya tidak sedarkan diri dan akan dibawa ke hospital sekitar kawasan itu.

Bayi itu meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Faizul membuat laporan polis selepas meneliti rakaman kamera pengawasan pusat itu dan mengesyaki kecuaian pengasuh ketika menjaga anak perempuannya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain