suria

Martabat pendidikan tinggi negara di peringkat global... Lawatan ke Turkiye, Iran meterai 19 MoU, 3 MoC

Mohamed Khaled (tengah) dan delegasi Malaysia bersama pengurusan tertinggi University of Isfahan, Iran.

MALAYSIA seharusnya berbangga apabila sektor pengajian tinggi negara menduduki tangga ke-27 terbaik di dunia daripada 50 negara yang dinilai, dengan skor keseluruhannya mencapai 52.4 peratus.

Ranking tersebut adalah menerusi penilaian oleh Universitas 21 (U21), iaitu rangkaian universiti terkemuka dunia berintensifkan penyelidikan, berdasarkan kajian Institut Kajian Sosial dan Ekonomi Gunaan, Universiti Melbourne, Australia.

U21 membuat penilaian itu menerusi elemen sumber, persekitaran, jaringan dan hubungan antarabangsa dan keberhasilan.

Pencapaian tersebut melonjak daripada tahun lalu di mana Malaysia menduduki tangga ke-36 terbaik dunia daripada 48 negara yang dinilai dengan skor keseluruhan 50.5 peratus.

Bagi meneruskan momentum kecemerlangan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara di peringkat global.

Terbaharu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan kerja lima hari ke Turkiye dan Iran bagi memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi dan meneroka prospek kerjasama, khusus dalam aspek penyelidikan, pertukaran tenaga pakar serta program mobiliti jangka pendek pelajar kedua-dua negara.

kpt 2

Mohamed Khaled (kanan) melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran Mohamad Ali Zolfigol.

Sebanyak 19 Memorandum Persefahaman (MoU) dan tiga sesi Memorandum Kerjasama (MoC) berjaya dimeterai, sempena lawatan kerja lima hari tersebut.

Dalam lawatan kerja ke Turkiye pada 5 hingga 6 Oktober, tiga MoU dimeterai antara Istanbul Gelisim University (IGU) bersama tiga Universiti Awam (UA) Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM).

Fokus utama MoU itu bagi pelaksanaan Program Pesisir antara USM dan IGU, serta beberapa perkara dipersetujui termasuk pertukaran pelajar dan staf, kerjasama penyelidikan, membangunkan projek secara penyelidikan, dan melakukan penerbitan bersama serta meningkatkan penglibatan syarikat multinasional dari Turkiye.

Lawatan kerja diteruskan ke negara yang dikenali dalam bidang sains dan teknologi, Iran pada 7 hingga 9 Oktober lalu.

Sebanyak 16 MoU dan tiga MoC berjaya dimeterai bersama empat universiti di Iran.

Daripada jumlah itu, lima MoU dan dua MoC dimeterai bersama University of Isfahan; lima MoU dan satu MoC bersama Islamic Azad University; lima MoU bersama D-8 International University (D8IU); dan satu MoU bersama Art University of Isfahan.

kpt 3

Mohamad Ali Zolfigol (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mohamed Khaled.

Antara bentuk kerjasama disepakati ialah dalam bidang agrikultur, sains dan teknologi, pertukaran pelajar, penyelidikan dalam bidang kejuruteraan, penganjuran bengkel dan program latihan bersama, serta memperluaskan kursus dual degree yang mampu meningkatkan produktiviti dan kebolehpasaran pelajar.

"Pemeteraian MoU ini jelas membuktikan bahawa kualiti IPTA negara yang kian diyakini sehingga ia diiktiraf negara luar.

"Semoga pencapaian yang membanggakan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha kita memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara di peringkat global," kata Mohamed Khaled.

Sepanjang lawatan kerja itu, Mohamed Khaled turut berkesempatan menyampaikan syarahan umum, yang menekankan kepentingan memperkukuh jalinan kerjasama yang mampu menangani isu seperti keterjaminan makanan, pendidikan dan kemahiran, serta perubahan iklim.

Beliau juga menghadiri Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah D8IU di Hamedan, Iran secara bersemuka dan maya, yang menghimpunkan wakil dari enam negara iaitu Malaysia, Iran, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Nigeria.

Dalam mesyuarat tersebut, Mohamed Khaled mencadangkan agar D8IU tidak lagi menjadi sebuah universiti konvensional, sebaliknya ia perlu mempunyai niche area tersendiri, seperti bidang sains dan teknologi supaya dapat membezakan D8IU dengan institusi pendidikan tinggi yang lain.

pic 1

Mohamed Khaled dan delegasi Malaysia semasa Mesyuarat 3rd D-8 International University Board of Trustees Meeting di D-8 International University, Hamedan, Republik Islam Iran.

Selain itu, beliau menyarankan agar satu kertas konsep water for humanity dibangunkan oleh penyelidik dalam kalangan negara anggota.

"D-8 harus menyerlahkan keterlihatannya melalui peranan dimainkan, yang sekali gus mampu menarik minat lebih banyak negara untuk menganggotainya.

"Diharapkan pertemuan tersebut menjadi lembaran penuh bermakna, kepada usaha untuk memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dipandang tinggi di persada dunia," katanya.

Sepanjang lawatan tersebut juga, beliau berkesempatan melakukan sesi kunjungan hormat ke atas Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran Mohamad Ali Zolfigol di Hamedan, Iran, bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara melalui sektor pendidikan tinggi.

Pelbagai perkara yang dibincangkan ketika kunjungan hormat tersebut, termasuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains dan teknologi memandangkan Iran mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

Menariknya, Mohammad Ali Zolfigol turut meluahkan hasrat untuk meneroka lebih banyak ruang dan peluang kerjasama dengan Malaysia melalui sektor pendidikan tinggi.

"Saya berharap inisiatif dijayakan ini dapat diterjemah dengan daya usaha serta komitmen yang tinggi, seterusnya mampu melonjakkan imej Malaysia sebagai negara yang sarat dengan sumbangan terhadap kesejahteraan masyarakat, di peringkat global," kata Mohamed Khaled.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain