suria

RM100 juta bantuan kemanusian kepada Palestin

Anwar menyuarakan ketegasan berhubung konflik Israel dan Palestin di Dewan Rakyat pada 16 Oktober.

PRIHATIN dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin, kerajaan Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM100 juta, dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah bantuan berkenaan akan disalurkan khusus kepada tabung kemanusiaan dan perubatan untuk rakyat Gaza.

"Saya telah umumkan bantuan RM10 juta dan insya-Allah Khamis ini sebelum berangkat ke Arab Saudi, lengkap terkumpul RM100 juta (tambahan daripada GLC) akan disalurkan khusus ke Gaza untuk tabung kemanusiaan dan perubatan.

"Masalahnya dalam perbincangan kita dengan beberapa negara termasuk Turkiye dan maklumat Mesir, Israel enggan membuka sempadan.

"Tiga pesawat Turkiye sudah sampai pelabuhan sempadan Gaza tetapi sempadan Rafah-Gaza tidak dibuka," katanya di Dewan Rakyat pada 16 Oktober.

Malah Anwar juga menyatakan beberapa negara lain Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar juga mengirim bantuan perubatan makanan tetapi tidak dapat menyerahkannya kerana dihalang.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam keadaan genting dengan angka korban dan cedera semakin meningkat serta pelbagai sumber terputus, bantuan kemanusiaan harus segera digerakkan.

"Satu saya kata hipokrit kerana Amerika Syarikat dan Barat sampai tak boleh menyatakan persetujuan untuk berikan makanan minuman kepada orang yang cedera parah dan kehilangan semuanya serta beberapa kawasan Gaza hilang keperluan minuman air bersih dan makanan.

"Saya telah beri mandat penuh kepada Menteri Luar untuk bincang dan ambil segala keputusan apa saja yang mungkin untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan dan apa juga tindakan disepakati negara jiran supaya dapat dilaksanakan tindakan lebih berkesan.

"Peringkat pertama ini, Menteri Luar akan mewakili kita untuk menyampaikan pandangan kita dengan satu matlamat iaitu menyelamat keadaan sekarang dan keduanya mengambil langkah perlu.

"Saya akan susuli di Riyadh dan sekiranya perlu saya akan bantu rakan di sana untuk membantu mereka mencari penyelesaian baik," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain