PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk terus komited menyelesaikan masalah tandas di sekolah selepas menerima aduan daripada seorang murid. Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkongsikan sepucuk surat ditulis seorang murid berumur sembilan tahun dikenali sebagai Maryam yang mengadu tentang keadaan tandas sekolahnya yang tidak kondusif. Maryam yang merujuk perdana menteri sebagai Uncle Anwar itu mengatakan selain keadaan tandas sekolahnya yang kotor, terdapat juga beberapa bahagian silingnya yang sudah hilang. "Uncle anwar, saya nak beritahu tentang keadaan tandas di sekolah saya. Pertama sekali, saya hargai usaha Uncle Anwar untuk memastikan tandas-tandas di sekolah bersih. "Tapi saya rasa tandas sekolah saya berada dalam keadaan kotor. Tolong lawat tandas sekolah saya dan lihat keadaannya. Lagi satu, sekolah saya hanya ada dua tandas duduk. "Yang lain adalah tandas cangkung, dan ada satu tandas cangkung ni yang di tepinya ada lubang mengerikan, seperti ada labah-labah boleh keluar dari situ bila-bila masa. Harap Uncle Anwar boleh bantu saya banyakkan tandas duduk. "Saya juga banyak lihat gambar tandas sekolah yang sudah diubah suai dan keadaannya sangat cantik, namun tandas sekolah saya tidak seperti itu. Jubin siling di tandas sekolah saya juga ada dua yang dah hilang," katanya. Anwar menyambut baik aduan yang dibuat Maryam itu dan berikrar untuk pantas menyelesaikan isu tandas di sekolah. "Terima kasih Maryam. Saya akan berusaha dengan lebih teliti dan percepat selesaikan masalah ini demi kesejahteraan anak-anak di sekolah," kata Anwar pada ruangan kapsyen hantarannya. Sebagai makluman, Anwar ketika membentangkan membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani pada Jumaat mengatakan projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya pada tahun ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube