SEORANG bayi berusia dua bulan maut selepas 10 minit bertarung nyawa dipercayai akubat kecuaian pengasuh yangmembiarkannya dalam keadaan meniarap ketika dibedung selama sejam. Insiden tersebut didedahkan ibu mangsa Asha Rosli, menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya. Jelasnya, kejadian malang itu terjadi pada hari kedua puteri keduanya, Qaseh Aulia Faizul yang berusia dua bulan, dihantar ke sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, 10 September lalu. Kata Asha lagi, anak perempuannya itu tidak sedarkan diri dipercayai berpunca kesukaran bernafas kerana dibiarkan dalam keadaan meniarap tanpa pengawasan selama sejam. “Dengan keadaan dibedung, posisi meniarap membuatkan sukar untuk bernafas. Tengok rakaman kamera litar tertutup (CCTV), hampir 10 minit Aulia berjuang. “Cuma mungkin terkilan dengan pengakhiran Aulia disebabkan sikap cuai. Dihantar dalam keadaan sihat, ceria. Hanya tangisan mengiringi empat jam kemudian,” tulisnya menerusi video tersebut pada Sabtu. Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, seorang wanita berusia 40-an ditahan selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 3 petang pada Jumaat. Katanya, pengasuh warga asing yang berkahwin dengan warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis. “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. “Kita masih menunggu laporan penuh hasil post mortem yang dijalankan terhadap bayi berkenaan,” ujarnya. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube