suria

“Saya yang berpanas, kenapa awak sakit hati?” - Sertai perhimpunan aman, Auntie Purple terkilan disuruh ‘duduk rumah je’

Auntie Purple disindir netizen apabila menyertai perhimpunan aman.

TIKTOKER juga pempengaruh, Auntie Purple terkilan apabla ada pihak yang memperlekeh tindakannya menyertai himpunan aman di Masjid Negara di ibu negara.

Menerusi komen yang ditinggalkan di TikTok Auntie Purple, seorang pengguna media sosial menuduh wanita tersebut sebagai ‘batak’ (sangat terdesak), dipercayai untuk meraih perhatian apabila menyertai himpunan tersebut yang dianjurkan pada Jumaat.

“Duduk rumah je kak. Tak payah batak-batak nak join,” demikian komen netizen tersebut yang sudah menukarkan akaunnya kepada mod privasi.

Terkesan dengan kata-kata yang dilemparkan, Auntie Purple atau nama sebenarnya Noor Suhaili Mohamed Amin, 45, kemudian memuat naik video bagi membalas komen tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Aunty Purple bertukar kuning! Video transisi tukar baju raya guna kucing buat ramai kagum, terlebih kreatif!

“Saya jarang nak marah, tapi geram betul dengan sikap awak ini (netizen). Suka hati sayalah, saya bukannya minta duit awak untuk tambang LRT (tren).

“Saya nak join solidariti saja... suruh kita duduk diam-diam dekat rumah,” jawabnya.

Auntie Purple kemudian menghalakan kameranya lalu menunjukkan seorang lelaki berbangsa India turut hadir dengan harapan dapat membuka mata mereka yang mempertikaikan tindakannya menyertai perhimpunan.

“Uncle ini bukannya Islam, tetapi dia datang sini sampai habis (selesai) untuk ‘support’ (sokong) Palestin.

“Awak tak nak datang tak apa. Yang berpanasnya auntie, berpeluhnya saya. Kenapa awak sakit hati?

“Kita tak nak berhimpun, sokong, tunjuk solidariti tapi cukuplah kita ambil tahu. Bila orang lain tunjuk solidariti, kita jangan pula tunjuk ‘mereng’. Tak mahu macam tu, tak baik,” ujarnya.

Tangkap layar video yang dikongsikan di TikTok.

Dalam pada itu, wanita ini turut berpesan kepada orang ramai supaya menjaga kata-kata dan adab daripada menyakiti orang lain.

Rata-rata pengguna media sosial turut memberikan komen menyokong Auntie Purple di video klip tersebut.

“Ayat ‘terpaling Palestin’ macam ni memang pentingkan diri sendiri. Kalau tiada orang bela Palestin, memang sampai kiamat mereka ditindas!

“Ni (video) habis marah ke Auntie? Cool gila. Kalau saya marah, pokok-pokok tepi tu semua tercabut tahu.

“Tak perlu jadi Islam untuk sokong. Cukup menjadi manusia. Tahniah Auntie Purple,” komen netizen.

Pada Jumaat, dua perhimpunan aman diadakan iaitu di Masjid Negara dan Masjid Tabung Haji untuk umat Islam menzahirkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain