suria

Kanak-kanak OKU disyaki panjat sebelum jatuh ke dalam mesin basuh sedang beroperasi

Malang tidak berbau justeru ibu bapa perlu sentiasa memantau anak-anak walau di mana mereka berada. -Gambar hiasan

KANAK-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan maut oleh neneknya disyaki memanjat dan terjatuh ke dalam mesin basuh yang sedang beroperasi di kediamannya di Ipoh, Perak.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kanak-kanak yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme itu, dipercayai memanjat mesin basuh berkenaan ketika semua orang di dalam rumah sedang tidur dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Isnin.

"Mesin basuh tersebut jenis muatan atas dan ketika kanak-kanak itu ditemukan mesin sudah berhenti beroperasi.

"Kami percaya kanak-kanak itu memanjat mesin basuh dan terjatuh ke dalamnya,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Tapah Tambahan, Manjoi, Perak, pada Isnin, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada pukul 11.02 pagi.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di bahagian kepala akibat objek tumpul.

Sementara itu, Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a), Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Menurutnya jenazah kanak-kanak itu telah dikebumikan di Johor pada Selasa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain