suria

Akses pendidikan berkualiti untuk semua jadi tumpuan Belanjawan 2024

Peruntukan menerusi Belanjawan 2024 meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua.

DENGAN peruntukan besar kepada Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Belanjawan 2024, Menterinya Fadhlina Sidek berkata, ia akan digunakan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk anak-anak di seluruh negara.

Menurut beliau, Belanjawan 2024 Malaysia Madani adalah komprehensif dan menyeluruh, sekali gus membolehkan kementeriannya membangunkan agenda Pendidikan Manusiawi.

“Kementerian akan terus berusaha untuk meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti, yang merangkumi pembinaan 26 sekolah baharu dan 18 blok baharu pendidikan khas, menaik taraf bangunan daif dan infrastruktur, serta kerja-kerja penyelenggaraan," katanya.

Fadhlina turut menyambut baik dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan peruntukan yang diberikan kepada KPM.

Sementara itu, timbalannya Lim Hui Ying berkata, menerima peruntukan yang terbesar dalam Belanjawan 2024 menunjukkan komitmen berterusan kerajaan terhadap pembangunan bakat.

"Fokus sedemikian perlu untuk memacu negara ke hadapan,” katanya sambil menambah bahawa beliau percaya peruntukan adalah pemboleh kepada reformasi pendidikan yang sedang diusahakan oleh KPM.

"Ia adalah belanjawan rakyat, ditujukan untuk semua rakyat Malaysia. Hak untuk pendidikan berkualiti adalah untuk semua orang tanpa mengira kaum, agama atau status sosial," katanya.

KPM bajet 2024 2

Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri mampu meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk anak-anak di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi pula berkata, ia merupakan tanggungjawab mereka untuk memastikan semua inisiatif strategik yang digariskan dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab bagi mencapai hasil yang optimum.

"Tahap pemantauan yang teliti amat diperlukan di semua peringkat bagi memastikan setiap wang yang dibelanjakan menyumbang kepada agenda reformasi pendidikan negara," katanya sambil menambah peruntukan itu akan memacu sektor pendidikan dalam membangunkan Malaysia Madani.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memberitahu, Belanjawan 2024 merupakan usaha yang amat penting bagi memelihara kesejahteraan rakyat dan negara.

"Aspek pendidikan terus beri keutamaan oleh kerajaan demi memastikan hasrat membina Malaysia Madani yang berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat global tercapai," katanya.

Memandangkan ia berfungsi untuk mencapai hasil pendidikan negara, kementerian itu berkata ia juga akan menekankan kepada penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan pelajar sekolah.

Justeru itu katanya, peluasan pelaksanaan program pembentukan karakter murid yang menumpukan nilai kepimpinan, sahsiah diri adab dan integriti.

“KPM menggalas amanah besar untuk memastikan peruntukan yang diberi dalam Belanjawan 2024 dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan memberi impak kepada pembangunan pendidikan negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Menyambut baik peruntukan besar untuk pendidikan, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Fouzi Singon berkata beliau berharap dana itu akan digunakan dengan baik untuk manfaat guru, pelajar dan sekolah.

"Kami amat berharap agar pembinaan 26 sekolah baharu diutamakan dan tertakluk kepada pemantauan yang rapi. Ini bagi memastikan kebijaksanaan dan penggunaan telus daripada sumber yang diperuntukkan, menjadikan pembinaan kukuh dan kemudahan pendidikan yang dibina dengan baik," katanya.

Tambah beliau, NUTP amat menghargai peruntukan sebanyak RM180 juta yang diperuntukkan untuk pembinaan 18 buah blok baharu pendidikan khas di samping RM30 juta bagi pembekalan peralatan sokongan Pendidikan khas dan kemudahan mesra OKU di sekolah.

Belanjawan 2024 turut menyaksikan tumpuan untuk pemerkasaan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), dengan penubuhan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian bagi menetapkan sasaran untuk mengukuhkan minat serta penglibatan murid dalam bidang tersebut.

Bagi Pengarah Kanan dan Pendaftar Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) Dr Teh Choon Jin, beliau menggambarkan penubuhan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian sebagai langkah positif yang berpotensi mewujudkan pendekatan komprehensif.

Ini katanya, ia diselaraskan dan disasarkan untuk menangani jurang jantina dalam pendidikan STEM dan kerjaya.

Beliau turut berpandapat inisiatif tersebut bukan sahaja penting untuk pemerkasaan individu, tetapi juga demi kemajuan seluruh masyarakat dan ekonomi Madani.

"Malaysia sedang berhadapan dengan krisis negara dalam usaha untuk memupuk bakat STEM ketika bilangan pelajar memilih bidang STEM menyaksikan penurunan.

"Isu kritikal ini telah menarik perhatian penggubal dasar, pendidik dan pihak berkepentingan yang menyedari kepentingan pendidikan STEM dalam memacu negara ke hadapan,” tambahnya.

Dr Teh berkata, terdapat beberapa cabaran untuk pembangunan negara, kerana disiplin dalam STEM adalah penting terhadap masa depan Malaysia berdaya saing di peringkat ekonomi global.

Pelajar hari ini merupakan pemimpin negara untuk hari esok.

Pelajar hari ini merupakan pemimpin negara untuk hari esok.

"Desakan untuk menangani isu ini menjadi lebih jelas apabila kita melihat kepesatan kemajuan dalam teknologi, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

"Laporan Pekerjaan Masa Depan 2020 oleh Forum Ekonomi Dunia menunjukkan bahawa menjelang 2025, 85 juta pekerjaan mungkin dipindahkan kerana anjakan teknologi.

"Adalah penting bagi Malaysia memberi tumpuan terhadap subjek berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi menyediakan tenaga kerjanya untuk perkembangan landskap pekerjaan ini," tambah Choon Jin lagi.

Mengenai peruntukan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan

pembekalan peralatan baharu untuk pembelajaran STEM, Dr Teh berkata, pelajar seharusnya didedahkan kepada penggunaan infrastruktur, peralatan, mesin dan makmal komputer bagi memastikan keberkesanan pembelajaran STEM.

"Pada masa ini, terdapat kekurangan kebolehcapaian infrastruktur, yang mengehadkan penciptaan pengetahuan maju dan pembangunan bakat murid.

"Memodenkan bilik darjah melalui pelaburan dalam teknologi dan peralatan tidak hanya meningkatkan kualiti pendidikan, tetapi juga menyelaraskannya dengan tuntutan pembelajaran dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0)," katanya sambil menambah pelaburan dalam peralatan STEM membolehkan pelajar melibatkan diri dengan pembelajaran secara fizikal.

"Sama ada melalui robotik, pencetak 3D, atau peralatan saintifik, pelajar boleh meneroka konsep STEM secara praktikal, kaedah interaktif, yang mana ia penting untuk pemahaman lebih baik terhadap mata pelajaran ini.

"Pelaburan ini memupuk elemen interaktif, pengalaman pembelajaran yang khas dan inklusif, juga mempersiapkan pelajar untuk berhadapan dengan cabaran dan peluang dunia yang semakin digital," kata Dr Teh lagi.

Maklumat lanjut mengenai Belanjawan 2024, boleh layari https://belanjawan.mof.gov.my/ms/

Artikel Lain