suria

Pastikan tiada anak-anak tercicir, semua pelajar terima manfaat akses pendidikan

KPM akan menggunakan peruntukan menerusi Belanjawan 2024 bagi memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

SEKURANG-kurangnya selama dua dekad, sektor pendidikan negara menerima peruntukan terbesar daripada belanjawan negara.

Trend ini berterusan pada 2024, dengan peruntukan sebanyak RM58.7 bilion kepada Kementerian Pendidikan dan RM16.3 bilion untuk Kementerian Pendidikan Tinggi.

Keseluruhannya berjumlah RM75 bilion, meliputi 19 peratus daripada perbelanjaan tahun depan.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan kepada Kementerian Pendidikan adalah lebih berbanding RM55.2 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.

Sebahagian besar peruntukan RM58.7 bilion tersebut akan disalurkan untuk tujuan pembinaan sekolah baharu.

Anwar berkata RM2.5 bilion diperuntukkan untuk pembinaan 26 buah sekolah baharu.

Ini termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-laya di Sabah, SMK Baie di Sarawak, SMK Seri Melati di Pahang, SMK Bandar Universiti di Perak dan SMK Binjai di Kelantan.

grafik

Sejumlah RM930 juta akan diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 450 sekolah, merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

Manakala RM210 juta akan disalurkan untuk pembinaan blok baharu pendidikan khas, pembekalan perlatan sokongan Pendidikan khas dan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di sekolah.

Ini termasuk pembinaan 18 blok baharu untuk murid berkeperluan khas di sekolah yang merangkumi SMK Kubang Rotan di Kedah, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Perda di Pulau Pinang, dan SMK Dato' Ali Ahmad di Perlis.

“Kerajaan akan terus memperkasa dan melindungi kesejahteraan pelajar berkeperluan khas,” kata Anwar.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM100 juta, bagi tujuan menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan perolehan peralatan baharu untuk bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

“Wakil industri akan terlibat sebagai tenaga pengajar dan menyediakan peralatan untuk meningkatkan minat murid dalam mempelajari STEM.

“Kerajaan juga akan menubuhkan jawatankuasa khas STEM rentas kementerian untuk menetapkan sasaran dan langkah bagi memperkasa penyertaan dan minat pelajar sekolah menengah dalam bidang itu,” katanya, sambil menambah bahawa ini adalah untuk menangani penurunan minat terhadap bidang Sains dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan mencatatkan penurunan dalam penyertaan peringkat menengah atas pelajar dalam aliran STEM daripada 45.2 peratus pada 2017 kepada 40.94 peratus pada 2022.

Bermula tahun depan, kerajaan bersetuju untuk meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

Anwar berkata, ini akan memberi peluang kepada tambahan 35,000 lagi anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Beliau turut berkata, pemberian bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) diperluaskan kepada murid sehingga Tingkatan 3 berbanding sehingga Tingkatan 1 sebelum ini.

KPM mahu memperkasa penyertaan dan minat pelajar sekolah menengah dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM). -Gambar hiasan

KPM mahu memperkasa penyertaan dan minat pelajar sekolah menengah dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM). -Gambar hiasan

Secara keseluruhannya, seramai sejuta pelajar akan menerima manfaat daripada peruntukan sejumlah RM150 juta itu.

“Malaysia mencatatkan penutupan sekolah tertinggi berbanding negara serantau semasa pandemik Covid-19. Kesannya, terdapat sebilangan pelajar yang tercicir dan memerlukan bimbingan tambahan,” katanya.

Justeru kata Anwar, peruntukan RM100 juta akan disediakan bagi melaksanakan pendekatan holistik melibatkan semua pihak dalam membantu murid yang terjejas.

Beliau turut memberitahu Kementerian Pendidikan akan memulakan Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara bagi mendapatkan cadangan dan pandangan ibu bapa, pendidik dan industri untuk Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang sedang dirangka.

Maklumat lanjut mengenai Belanjawan 2024, boleh layari https://belanjawan.mof.gov.my/ms/

Artikel Lain