suria

Agenda ‘Manusiawi’ jamin akses pendidikan berkualiti untuk semua

Akses pendidikan berkualiti memastikan tiada anak-anak tercicir dalam pelajaran. -Gambar hiasan

PENDIDIKAN Manusiawi – agenda sistem pendidikan yang memartabatkan pencapaian akademik di samping menekankan aspek kemanusiaan, selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata konsep itu diserapkan dalam program-program KPM yang dilakukan untuk sistem pendidikan yang memupuk kanak-kanak dan belia supaya menyesuaikan diri dengan baik, bermoral dan menjadi penyumbang kepada pertumbuhan negara.

“Agenda pendidikan manusiawi ini bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir dalam mencapai akses pendidikan berkualiti,” katanya dalam temuramah bersama media, sambil menambah ia merangkumi anjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut PPPM, pendidikan sering dilihat sebagai medium untuk mengubah status sosial, membolehkan anak-anak yang dilahirkan dalam keluarga miskin memperoleh pendapatan yang lebih tinggi apabila mereka dewasa kelak.

Fadhlina berkata anjakan pertama pelan tindakan itu menunjukkan bahawa KPM komited menyediakan akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa untuk semua.

Tambahnya lagi, amalan kementerian untuk pendidikan memanusiakan manusia, adalah selaras dengan aspirasi pelan pembangunan berkenaan.

Dasar Pendidikan Wajib disokong di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang mewajibkan kanak-kanak mendapat pendidikan formal sehingga Tahun Enam.

Pendidikan berteraskan karakter penting untuk pembangunan keperibadian murid. -Gambar hiasan

Fadhlina mengatakan inisiatif ‘Pendidikan Manusiawi’ adalah sejajar dengan akta tersebut apabila kementerian berusaha untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa mengira siapa atau di mana mereka berada.

“Malaysia akan terus berusaha untuk memastikan akses yang saksama kepada pendidikan dengan menangani jurang kumpulan demografi, termasuk bandar dan kawasan luar bandar, dan masyarakat terpinggir.

“Mempunyai pendidikan yang terbuka untuk semua akan membantu membentuk generasi berkebolehan, yang amat penting dalam kemajuan dan pembangunan negara,” katanya.

Fadhlina juga berkata pendidikan berteraskan pembinaan karakter dan nilai adalah penting dalam pelan pembangunan pendidikan Malaysia.

“Negara meletakkan penekanan terhadap penerapan etika, moral dan nilai murni dalam diri murid untuk membentuk individu berakhlak mulia yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah turut menyumbang secara positif kepada masyarakat.

“Pendidikan berteraskan karakter dan nilai dilihat penting bukan sahaja untuk pembangunan keperibadian murid, tetapi juga demi kebaikan masyarakat secara menyeluruh,” kata Fadhlina.

Tambah Fadhlina, negara berhasrat untuk mewujudkan individu yang serba lengkap iaitu bukan hanya kompeten dari segi akademik, tetapi juga warganegara yang bertanggungjawab secara moral dan etika.

Rancangan giat dijalankan

Kementerian Pendidikan telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam menjayakan PPPM yang berteraskan ‘Akses, Ekuiti dan Kualiti’.

Fadhlina berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk mengurangkan kadar keciciran sekali gus meningkatkan pendaftaran murid ke sekolah, terutamanya bagi golongan kurang bernasib baik.

Sokongan dan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua. -Gambar hiasan

Antara inisiatif itu adalah Sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun (K9) dan 11 (K11) yang rata-ratanya memfokuskan kepada orang asli.

Model khas sekolah ini juga termasuk Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Sekolah Dalam Hospital (SDH), Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney.

SBJK merupakan sekolah khas yang ditubuhkan pada 19 Ogos 2013, memenuhi aspirasi dari Unesco dari segi sistem pendidikan dan mempersiapkan murid dengan konsep ‘Pendidikan untuk Semua’.

Ia merupakan salah satu usaha menyediakan akses kepada pendidikan formal, dari prasekolah hingga sekolah menengah dalam persekitaran yang kondusif untuk anak-anak di luar bandar.

Ini juga termasuk anak-anak yang terdedah dengan masalah sosial, tanpa dokumen pengenalan diri dan anak-anak yang tercicir dari segi pembelajaran disebabkan yatim piatu.

Anak-anak ini bukan sahaja diberikan pendidikan dan penjagaan yang menyeluruh, mereka juga diajar tentang gejala sosial yang membawa padah, seperti dadah dan alkohol, aktiviti seksual dan pengaruh buruk yang lain.

Sekolah ini mempunyai dua cawangan, iaitu di Chow Kit, Kuala Lumpur dan di Kota Kinabalu, Sabah.

Seterusnya ialah Sekolah Dalam Hospital (SDH), menyediakan pusat pembelajaran yang menyeronokkan dan fleksibel dalam persekitaran kondusif bagi murid yang menerima rawatan di hospital.

Selain itu, objektif SDH juga untuk merangsang murid terus belajar dan menggalakkan pertumbuhan psikososial yang normal serta membantu dalam proses penyembuhan.

Sejak 2011, terdapat 17 SDH di 11 negeri di seluruh negara.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, negara sedang giat mempromosikan pendidikan inklusif untuk kanak-kanak kurang upaya dan berkeperluan khas.

Tambah beliau, penekanan lebih tertumpu kepada sekolah-sekolah yang mempunyai murid autistik sebagaimana yang dinyatakan dalam Belanjawan 2024.

“Usaha telah dilakukan untuk menyediakan murid-murid ini sokongan dan akses kepada pendidikan berkualiti dalam sekolah arus perdana,” katanya, yang menegaskan bahawa ini juga akan membina rasa hormat antara satu sama lain dan pemahaman dalam kalangan murid.

Melihat kepada kejayaan semasa usaha ‘Pendidikan Manusiawi’, Fadhlina berkata KPM sedang bersedia mewujudkan pelan transformasi strategik baharu untuk diteruskan selepas pelaksanaan PPPM, sejajar dengan kurikulum baharu yang dirancang.

“Pelan baharu ini akan merangkumi konsep Madani dan Matlamat Pembangunan Lestari 4 (SDG4) iaitu memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama.

“Ia dapat memupuk murid yang bermoral dan mampu berdaya saing di peringkat global.

“Anak-anak ini merupakan pengukur kejayaan Malaysia pada masa akan datang, jadi tidak seorang pun yang boleh tercicir daripada sistem pembelajaran hari ini,” katanya lagi.

Model pembelajaran baharu perluas peluang

PROGRAM Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) bukan hanya terhad kepada sekolah tertentu, malah diperluaskan ke negeri-negeri lain khususnya di Sabah dan Sarawak.

SBJK di Sabah ditubuhkan selepas sesi libat urus bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenal pasti lapan murid warganegara yang tercicir berpanjangan daripada sistem persekolahan disebabkan faktor seperti kemiskinan dan keluarga rentan.

Inisiatif pembinaan sekolah adalah usaha menyediakan kurikulum yang relevan untuk memenuhi keperluan Orang Asli. -Gambar hiasan

Mereka yang terjejas hadir ke Pusat Aktiviti Kanak-kanak seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Am Sabah bagi murid mempelajari konsep asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Mereka kemudian didaftarkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, Kota Kinabalu, yang dipilih sebagai lokasi program SBJK memandangkan sekolah itu mempunyai 10 kabin yang tidak lagi digunakan sejak 2017, dan terletak berhampiran rumah lapan kanak-kanak itu.

Kanak-kanak di Sabah yang telah dikenal pasti untuk program SBJK akan didaftarkan di sekolah yang melaksanakan program tersebut, dan layak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Peruntukan Bantuan Geran Per Kapita (PCG) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

Bagi urusan pengangkutan pula, murid sama ada dihantar dan diambil oleh keluarga mereka sendiri, atau menaiki kenderaan yang disediakan oleh JPN Sabah.

Murid-murid yang mengikuti program ini ditempatkan dalam peringkat kelas berdasarkan penguasaan mereka terhadap 3M.

KPM akan memastikan kualiti pendidikan inklusif secara saksama dan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua. -Gambar hiasan

Program SBJK di Kota Kinabalu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan kokurikulum sama seperti SBJK yang lain, mengikut keperluan dan kesesuaian murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata program ini bagi memastikan kanak-kanak di Kota Kinabalu dan sekitarnya memperoleh pendidikan asas di sekolah rendah dan menengah.

“Program ini boleh dilaksanakan di sekolah yang berkeperluan dengan mengambil kira kriteria murid yang ditetapkan,” katanya, sambil menegaskan ia merupakan langkah proaktif dalam menangani masalah keciciran murid-murid dalam pelajaran.

“Ini boleh meningkatkan taraf hidup sekali gus mengurangkan jurang ekonomi antara penduduk luar bandar dan bandar,” tambah beliau.

Program ini selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015, serta Matlamat Pembangunan Lestari 4 (SDG4) yang bertujuan memastikan pendidikan inklusif berkualiti secara saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

“Matlamat program ini memastikan semua murid menamatkan sekolah rendah dan menengah menjelang 2030,” katanya.

Murid di SBJK terdiri daripada yang kumpulan berikut:

⦁ Kanak-kanak dari keluarga miskin tegar yang tercicir dalam pembelajaran.

⦁ Kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan

⦁ Kanak-kanak jalanan, terpinggir atau kurang bernasib baik

⦁ Anak yatim piatu yang tinggal di pusat kebajikan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain