suria

Tiga cedera, siling pusat beli-belah runtuh ketika hujan lebat... Saksi sempat rakam video kejadian depan mata

Keadaan pusat beli belah Megah Rise selepas kejadian. -Gambar Facebook

TIGA cedera dalam insiden siling runtuh di pusat beli-belah Megah Rise di Petaling Jaya, Selangor ketika hujan lebat kira-kira pukul 3 petang Sabtu.

Kejadian mencemaskan itu membabitkan sebahagian siling di anjung parkir kereta yang terletak di hadapan pintu masuk.

Rakaman detik cemas kejadian terbabit dikongsikan pengguna Facebook, Fiona Ng yang dipercayai merupakan salah seorang saksi sewaktu kejadian.

Fiona sempat merakamkan bagaimana bahagian siling berkenaan runtuh sebelum orang ramai diarah menyelamatkan diri ke lokasi selamat.

Susulan itu pusat beli-belah itu tampil memaklumkan pihaknya sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menangani situasi terbabit.

"Dukacita dimaklumkan bahawa siling anjung kereta di hadapan pintu masuk Megah Rise Mall runtuh semasa angin kencang dan hujan lebat kira-kira pukul 3 petang, ia mengakibatkan tiga individu cedera ringan.

"Kami sedang menyiasat punca kejadian dan sedang mengambil tindakan segera untuk mengurus dan menangani situasi tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pihak pengurusan pusat beli-belah juga menyatakan komitmen mereka untuk menangani situasi itu dengan segera dan memastikan kejadian seperti itu tidak berulang pada masa hadapan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain