suria

Disaji telur tembelang, ramai pelajar MRSM keracunan makanan! Pengerusi Mara arah siasat pengendali dewan makan, ambil tindakan tegas

Telur yang sudah busuk turut dimasak dan disajikan kepada pelajar asrama. -Gambar Facebook Amira Alia

BAGI pelajar asrama, mereka tiada pilihan makanan mengikut selera atau cita rasa melainkan makan saja apa yang disediakan di dewan makan.

Jika tukang masak atau pengendali dapur mengabaikan aspek kebersihan, sudah pasti akan mengundang kejadian keracunan makanan melibatkan penghuni asrama.

Seperti perkongsian seorang wanita, beberapa orang pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang di Jelebu, Negeri Sembilan, mengalami keracunan makanan dipercayai kerana disajikan makanan yang telah tercemar.

"Makanan yang dihidangkan dekat MRSM Kuala Klawang hari ini (31 Oktober)... yang menyebabkan ramai anak-anak sakit perut cirit birit.

Ulat sayur juga kelihatan dalam salah satu hidangan yang disajikan. -Gambar Facebook Amira Alia

Ulat sayur juga kelihatan dalam salah satu hidangan yang disajikan. -Gambar Facebook Amira Alia

"Dah nampak tembelang macam ni masa kupas telur tapi masih sajikan dekat anak-anak. Mana hati perut mereka ya," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut wanita ini lagi, kes keracunan makanan melibatkan kontraktor makanan tersebut bukanlah pertama kali berlaku sebaliknya sudah terjadi sebelum ini.

"Ini bukan kali pertama! Hidang makanan buruk macam ni. Harap pentadbiran terminate terus.

"Kes hari itu bagi anak-anak makan cili pedas teramat sampai sakit perut, dah janji nak buat makanan elok-elok, tapi sekarang jadi macam ni pula.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi ayam masak lemak cili padi, 32 pelajar keracunan makanan

"Sampai hati. Anak-anak tingkatan empat dan lima, dah nak exam sakit perut pula tak dapat belajar elok-elok," tambahnya.

Melihatkan gambar yang dikongsikan, di bahagian telur putih tersebut sudah kelihatan garisan-garisan hitam.

Malah telur kuningnya juga sudah berubah warna dengan kebanyakan menjadi hitam.

Bukan itu sahaja, terdapat juga gambar yang memaparkan seekor ulat daun tersangkut pada daging salah satu masakan yang disajikan.

Telur putih kelihatan 'bercorak' kerana sudah rosak. -Gambar Facebook Amira Alia

Telur putih kelihatan 'bercorak' kerana sudah rosak. -Gambar Facebook Amira Alia

Perkongsiannya itu mendapat perhatian warga maya dengan rata-ratanya mahukan pihak pengurusan mengambil tindakan memberhentikan pengendali makanan tersebut.

Pada masa sama seorang guru yang pernah mengajar di MRSM terbabit menyarankan supaya warden asrama bergilir-gilir makan bersama pelajar.

"Saya bekas guru di MRSM Kuala Klawang. Lepas tu berpindah ke MRSM Kuching dan para warden diwajibkan makan di dewan makan setiap hari... ada jadual penggiliran untuk warden makan dengan pelajar.

"Kalau warden makan sekali dengan pelajar, sekurang-kurangnya masalah begini tak akan berlaku kerana ada guru-guru yang akan makan dengan pelajar dan sudah semestinya kualiti makanan dan masakan akan terjaga," ujarnya.

Hantaran yang tular itu turut mendapat perhatian Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki yang memaklumkan bahawa tindakan tegas akan segera diambil demi menjaga kebajikan pelajar.

"Saya sudah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara untuk segera siasat, ambil tindakan tegas dan pastikan kes ini tidak berulang lagi.

"Prinsip saya dalam hal ehwal kebajikan pelajar, tiada kompromi terhadap mana-mana kontraktor dewan selera yang ambil mudah dan enteng dalam isu penyediaan makanan pelajar.

"Jangan hanya mengejar untung atas kesusahan orang lain. Keuntungan atas kecurangan pastinya tiada keberkatan," tegasnya di ruangan komen.

Tambahnya, jika didapati kecuaian ini benar-benar berlaku, Mara pastinya akan ambil tindakan tegas termasuklah menamatkan kontrak sebagaimana perjanjian dan peraturan yang ditentukan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Sebelum

Agenda ESG negara diteruskan

Artikel Lain