suria

Mahkamah ketepi keputusan lepas tanpa bebas Inspektor Sheila

Inspektor Sheila berdepan dengan tiga kes mengaibkan, mengugut serta menghina orang awam termasuk seorang anggota polis.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Selasa mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) pegawai polis, Inspektor S Sheila Sharon atau lebih dikenali sebagai Inspektor Sheila daripada satu tuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Norsharidah Awang selepas membenarkan rayuan Sheila kerana satu pertuduhan itu tidak dibacakan ketika pendakwaan kes, pada 26 Jun lalu.

Difahamkan, tuduhan itu tidak dibacakan kerana berlaku masalah teknikal ketika kes didaftarkan di Mahkamah Majistret tersebut.

"Rayuan dibenarkan dan perintah DNAA yang dikeluarkan majistret pada 26 Jun lalu diketepikan," kata Hakim melalui penghakiman ringkasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sheila luah hasrat kembali ke Bukit Aman, mahu banteras jenayah - “Saya manusia biasa ada kelemahan”

Keputusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan tiga lagi pertuduhan dihadapi Sheila, yang mana pengakuannya juga direkodkan pada 26 Jun lalu.

Sheila sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal Farhan Abdul Razak di Taman Sri Gombak pada 15 Jun lalu.

Pada 26 Jun lalu, dia mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa.

Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan berkata; 'You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu'.

Perbicaraan untuk tiga kes berkenaan ditetapkan bermula 5 Februari tahun depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain