suria

GPS kekal kuasai DUN Jepak, bukti rakyat sokong rencana pembangunan

GPS raikan kemenangan DUN Jepak.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) kekal kuasai Dewan Undangan Negeri Jepak selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut pada Sabtu.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, kemenangan itu membuktikan rakyat menerima rancangan yang telah direncanakan untuk Bintulu khususnya pembangunan di Jepak Jaya.

“Ini petanda rakyat Jepak menerima rancangan kita untuk Bintulu khususnya pembangunan Jepak Jaya.

"Dengan sokongan padu daripada rakyat ini, kami akan meneruskan usaha untuk melaksanakan pembangunan berstruktur di Bintulu untuk menjadi bandar perindustrian contoh dan menarik lebih banyak pelaburan," katanya.

Abang Johari bercakap kepada pemberita selepas calon GPS Iskandar Turkee diumumkan sebagai pemenang di Pusat Sivik pada Sabtu.

Iskandar memperoleh 9,638 undi untuk menewaskan Stevenson Joseph Sumbang (Parti Bumi Kenyalang) dan Chieng Lea Phing (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak) dengan majoriti 8,784 undi.

Pada pilihan raya negeri 2021, mendiang Datuk Talib Zulpilip daripada GPS memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,243 undi.

Abang Johari berkata majoriti yang lebih tinggi menjadi pengajaran kepada semua parti yang bertanding.

"Ini adalah mesej yang jelas bahawa demokrasi bukan semata-mata untuk bertanding. Kita perlu melihat kepada realiti.

“Dan GPS akan terus membangunkan Sarawak menjadi negeri yang progresif dan makmur menjelang 2030,” katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 48 peratus, Abang Johari berkata ia mungkin disebabkan ramai pengundi yang bekerja atau belajar di tempat lain tidak pulang untuk mengundi.

“Dalam pilihan raya kecil, kami menjangkakan peratusan keluar mengundi lebih rendah berbanding pilihan raya negeri atau umum.

“Apa yang penting GPS menang di semua daerah mengundi dan saluran mengundi, yang menunjukkan rakyat berada di belakang kita,” katanya.

Iskandar mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Jepak atas sokongan padu mereka.

"Saya sudah lulus peperiksaan. Sekarang saya akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada semua orang di Jepak," katanya. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

GPS Jepak, DUN Jepak, PRK DUN Jepak,

Artikel Lain