BERSIKAP pilih bulu! Demikian dakwaan seorang lelaki terhadap seorang kakitangan Menara Berkembar PETRONAS yang dikatakan memberi layanan tidak adil terhadap pelawat tempatan. Lelaki itu mendakwa pekerja mengutamakan pelawat warga asing untuk menaiki Skybridge di menara tersebut, sedangkan dia telah pun mendapatkan slot dan menunggu lebih awal, pada Jumaat. Susulan itu, pihak pengurusan Menara Berkembar PETRONAS dalam satu kenyataan tampil membuat permohonan maaf. “Pihak pengurusan operasi lawatan Menara Berkembar PETRONAS ingin memohon maaf di atas insiden yang telah berlaku. “Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera. Kami akan memastikan hal ini tidak berulang lagi. Segala kesulitan amat kami kesali,” menurut kenyataan tersebut, pada Sabtu. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Menara Berkembar PETRONAS. Bagaimanapun, menerusi hantaran terbaharu pada lewat Sabtu malam, pengadu yang juga peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi yang membuat dakwaan itu mempersoalkan permohonan maaf dibuat oleh pihak pengurusan Menara Berkembar PETRONAS. ARTIKEL BERKAITAN: Peguam dah serik nak ke Skybridge, luah rasa kesal langsung tak dicari pengurusan Menara Berkembar Petronas Menurutnya, kenyataan yang dibuat tidak merujuk kepada hantaran mengenai insiden yang dialaminya secara khusus. “Setelah 24 jam berlalu dari posting yang telah saya pinned di wall saya, ramai yang kata Menara Berkembar PETRONAS telah memohon maaf. “Saya baca ia langsung tidak merujuk kepada apa yang berlaku seperti yang saya tuliskan. Tidak juga merujuk kepada insiden yang berlaku atau pun mengenai posting saya. “Jadi Menara Berkembar PETRONAS memohon maaf mengenai apa? Kepada siapa? Tidak juga merujuk kepada insiden seperti masa dan tarikh yang saya sebut, atau pun kepada tiket yang telah saya paparkan serta gambar dua orang yang saya juga paparkan. “Saya tidak dapat terima mohon maaf itu,” tegasnya. Terdahulu, menerusi satu hantaran yang tular, dia mendakwa dilayan tidak adil oleh pekerja Skybridge yang dilihat mengutamakan pasangan warga asing untuk menaiki menara tersebut. Dia mendakwa telah beratur pada pukul 11.30 pagi dan dapat membeli tiket untuk slot pukul 4 petang bagi menaiki menara Skybridge. Dia kemudian datang semula pada pukul 2 petang dan menanti di ruang menunggu sehingga pukul 3.45 petang untuk beratur bagi mengimbas tiket. “Kira-kira pukul 3 petang datanglah pegawai Melayu yang pakai tali leher warna PETRONAS itu ke kerusi bulat sebelah bertanya kepada satu pasangan warga asing waktu tiket mereka sepatutnya menaiki menara. “Mat salih itu jawab pukul 4.15 petang. Pegawai itu kenyit mata dan (beri) signal suruh couple mat salih itu ke depan supaya boleh naik awal. “Mulalah tertanya-tanya apa hal pula mat salih boleh naik dulu. Saya ini yang dah tunggu lebih awal tidak pula dilayan begitu. “Bila ditanya, jawapannya mereka ada kuasa untuk dahulukan sesiapa yang difikirkan perlu. Wah... mat salih itu baru sampai, badan bertatu segar bugar dan pasangan perempuannya tak nampak cacat pun,” dakwanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube