PENULIS buku, Fakhri Fadzli menggesa para pempengaruh tempatan agar memperlahankan kritikan yang dibuat mereka terhadap Arab Saudi. Menerusi ciapan di laman X, dia berkata kritikan yang dibuat dikhuatiri menjadi isu besar sehingga menjejaskan hubungan diplomasi antara dua negara. "Influencers di X ini kena belajar tarik handbrake sedikit dalam kritik Saudi. Macam akan jadi semakin besar. Risau nanti jadi isu diplomasi pula antara dua negara ataupun melekat stigma buruk terhadap negara masing-masing. "Sebagaimana negara mereka tidak sempurna, kita pun tidak sempurna. Banyak aib kita mereka akan jumpa jika mereka gali," ciapnya pada Selasa petang. Dalam pada itu, dia berkata perbalahan antara umat Islam pastinya menjadi satu kemenangan buat Israel, sedangkan isu sebenar adalah kekejaman zionis ke atas Palestin. "Antara perkara yang zionis suka jika berlaku adalah umat Islam berpecah belah pada waktu yang kita sepatutnya bersatu. Fokus kepada isu sebenar iaitu Palestin. Berpada-pada dalam mengkritik. Berlaku adil dan objektif. Hati-hati dalam berkata-kata. Rakyat Malaysia terus memberikan sokongan buat penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel. - Gambar hiasan "Ini nasihat kepada diri saya juga yang emosi sentiasa mengatasi rasional. Saya banyak juga buat kritikan kepada negara-negara Arab ini. Tapi saya simpan dulu kerana sekarang bukan waktunya. "Oh ya. Monetization daripada hasil melaga-lagakan manusia adalah antara rezeki yang tidak berkat," ujarnya lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia kritik Arab Saudi umpama dunia akhir zaman benarkan pelacuran, jual arak kena pecat dan ditahan pihak berkuasa Dalam pada itu, Fakhri turut mengulas isu penganjuran festival muzik di Riyadh yang kecoh diperkatakan sehingga mendapat kritikan ramai di media sosial. "Apa yang berlaku di Riyadh Festival itu ialah kemungkaran yang tidak ada orang beriman pun yang rasa reda dengannya. Saya yakin orang-orang soleh dan beriman di Arab Saudi juga tidak reda dengan kemungkaran di negara mereka. "Apatah lagi menjadi tempat terletaknya Tanah Suci. Namun itulah ujian untuk mereka. Kita juga diuji dengan perkara yang sama di bumi Malaysia ini. Namun kebaikan sentiasa ada dan Insya-Allah akan mengalahkan segala keburukan suatu hari nanti," tulisnya lagi. Sebelum ini, ramai netizen termasuk pempengaruh dilihat mengkritik Arab Saudi yang dikatakan masih membisu terhadap isu penindasan rakyat Palestin, malah didakwa tergamak menganjurkan program hiburan ketika umat Islam sedang berduka dengan serangan kejam di Gaza. Pada Isnin, mStar melaporkan seorang warga Malaysia yang bekerja di Arab Saudi ditahan oleh pihak berkuasa negara itu kerana kelantangannya membuat kritikan secara terbuka. Dalam satu ciapan, pemuda itu menyifatkan Arab Saudi seperti dunia akhir zaman yang mana gejala pelacuran dan penjualan arak turut berlaku dalam pasaran gelap berdasarkan kepada pemerhatiannya sejak bekerja di negara berkenaan. Dia juga mendakwa kebanyakan ustaz di negara itu merupakan golongan Madkhalis iaitu taat kepada pemerintah tanpa mengira ia adil atau zalim, baik atau buruk. Berita penahanan pemuda itu dikongsi personaliti dakwah Ustaz Ad-Dien menerusi laman X pada Isnin. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube