suria

Ayuh mahasiswa, tingkat kemahiran digital dengan Program Perintis MY5G Ericsson Malaysia!

Mahasiswa meningkatkan kemahiran digital bagi mempersiapkan diri sebelum memasuki dunia pekerjaan.

KINI anda berpeluang meningkatkan kemahiran digital bagi mempersiapkan diri sebelum memasuki dunia pekerjaan dalam era yang kian mencabar.

Ericsson Malaysia melancarkan kursus dalam talian mengenai 5G dan teknologi digital kepada semua mahasiswa di peringkat pengajian tinggi di seluruh negara.

Apa yang menariknya, kursus ini ditawarkan secara percuma!

Kursus yang dikenali sebagai Program Perintis MY5G Ericsson Malaysia direka untuk menyampaikan kandungan pembelajaran, bertujuan meningkatkan kemahiran digital, pengetahuan dan kesedaran tentang teknologi terbaharu.

Ia merupakan inisiatif bersama Ericsson dan Digital Nasional Berhad (DNB), iaitu syarikat yang berperanan memacu dan melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia.

Program Perintis MY5G Ericsson Malaysia sarat dengan pengisian yang merangkumi tiga modul dengan durasi 14 jam bagi setiap modul, atau 42 jam secara keseluruhannya.

Objektif program ini adalah membolehkan mahasiswa merapatkan jurang antara kemahiran digital yang akan diperoleh dalam kursus pendidikan, di samping keperluan kemahiran yang pesat berubah dalam dunia digital hari ini.

Teknologi digital termangkin dengan adanya rangkaian 5G, seperti Internet-of-Things (IoT), kecerdasan buatan (artificial intelligence), realiti maya (virtual reality) dan realiti tambahan (augmented reality).

Ini sekali gus menjadi nilai tambah buat mahasiswa apabila bakal melangkah masuk ke pasaran kerja kelak!

Ketua Perhubungan Kerajaan dan Industri Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Afrizal Abdul Rahim menzahirkan rasa gembira dan berbesar hati untuk memperkenalkan program perintis ini dan menyediakannya di seluruh negara kepada semua mahasiswa di peringkat pengajian tinggi.

"Kami percaya dalam dunia di mana ketersambungan tanpa had meningkatkan kehidupan, mentakrifkan semula perniagaan dan merintis masa depan yang mampan.

"Visi ini hanya boleh direalisasikan dengan memastikan mahasiswa mendapat akses kepada kandungan pendidikan berkualiti pada 5G dan teknologi berkaitan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Perintis MY5G Ericsson Malaysia dan juga mewakili pihak DNB, Dr Ahmad Helmi Azhar menyifatkan pengetahuan yang diperoleh daripada program ini dapat mewujudkan modal insan yang lebih dinamik dalam menggalakkan cetusan idea dan innovasi dalam membangunkan aplikasi digital baharu.

“Pengetahuan berkaitan teknologi digital yang mapan dapat memperkasakan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang akademik, agar lebih bersedia dalam menghadapi ekonomi dan peluang pekerjaan pada masa depan.

“Program ini berhasrat untuk membangunkan generasi yang berdaya saing digital secara menyeluruh - merentasi jurang ekonomi dan sosial - bagi memacu perkembangan negara melalui aplikasi dan teknologi digital menggunakan infrastruktur 5G yang tersedia,” katanya.

Selain itu, ia menjadi penyelesaian yang akan mengurangkan jurang digital dan memacu transformasi digital.

Apa itu Program Perintis MY5G Ericsson Malaysia dan mengapa mahasiswa perlu menyertainya?

Pengetahuan berkaitan teknologi digital memperkasakan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang akademik.

Menerusi program ini, mahasiswa boleh mengambil penilaian secara dalam talian.

Pada penghujung modul ketiga, mahasiswa akan memperoleh lencana digital Ericsson yang bermanfaat untuk profil resume, LinkedIn dan media sosial mereka.

Usah risau! Tiada syarat minimum atau pra-syarat untuk menyertai program ini.

Ia terbuka kepada mahasiswa daripada pelbagai latar belakang, sama ada teknikal dan bukan teknikal, dan sesuai untuk pelajar di peringkat asasi, matrikulasi, sarjana muda dan pasca siswazah.

Mahasiswa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program Perintis MY5G Ericsson Malaysia boleh melayari atau mendaftar melalui pautan https://www.ericsson.com/en/about-us/company-facts/ericsson-worldwide/malaysia/my5g-ericsson-educate

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain