KONSERT kumpulan muzik antarabangsa Coldplay yang bakal diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada minggu depan, mendapat bantahan Majlis Ulama ISMA (Muis). Pengerusinya, Datuk Zamri Hashim berkata, penganjurannya dilihat tidak sensitif dengan peperangan yang berlaku di Gaza, Palestin ketika ini yang meragut puluhan ribu nyawa. Zamri yang juga Timbalan Mufti Perak berkata, ia adalah sangat bertentangan dengan nilai agama dan persaudaraan sesama Islam. "Apatah lagi ia terpalit dengan tohmahan menyokong arus songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). "Muis meminta agar semua umat Islam tidak terlibat dengan penganjuran konsert ini, dan Muis mengingatkan bahawa kelalaian mereka terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin adalah suatu dosa pengabaian yang akan dipersoalkan kelak. "Muis meminta pihak berwajib membatalkan konsert tersebut, bagi menghormati perasaan kesedihan dan simpati terhadap saudara kita di Palestin yang sedang dibom dan diserang, hingga melibatkan lebih 11,000 nyawa yang terkorban," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu. Menurut Zamri, Muis yang mengecam keras penganjuran konsert itu turut menggesa semua pihak agar tidak berlepas diri daripada tanggungjawab membantu dan menolong saudara Islam di Palestin. Jelasnya, ia boleh dilakukan melalui semua aspek terutama doa, sumbangan dan sebaran keprihatinan kepada seluruh masyarakat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube