SELEPAS lantang mempertikaikan penganjuran Anugerah Perdana Belia Negara (ABPN) 2023, nama personaliti media sosial Zhiddin Aziz terus menjadi bualan netizen. Terbaharu Zhiddin atau nama lengkapnya Mas Zhiddin Zhiddan, 21, didakwa menciplak beberapa ayat daripada teks pidato karya asal seorang lelaki dikenali sebagai Khairul Afsan. Zhiddin yang juga anak kepada personaliti televisyen Allahyarham Aziz Desa itu didapati menggunakan ayat-ayat penuh kiasan itu ketika berucap dalam sebuah acara baru-baru ini tanpa memberi kredit kepada penulis asal. "Apa ni saudara, habis diciduknya (tiru)," kata Khairul di ruangan kapsyen video TikTok miliknya yang hingga kini sudah meraih hampir 40,000 tontonan. Khairul Afsan membuat pendedahan di TikTok. Bercerita lanjut, Khairul yang merupakan bekas jurulatih pemidato peringkat antarabangsa berkata potongan teks pidato yang disampaikan Zhiddin itu merupakan hasil penulisannya. "Sewaktu saya menjadi jurulatih Malaysia pada tahun 2011, teks ini adalah karangan saya bersama dengan saudara Amirrudin Abd Rahman yang merupakan juara dunia pada ketika itu. "Saudara (Zhiddin) adalah orang yang dikenali, disanjung sana sini, lain kali ciptalah sesuatu yang asli kerana ia adalah yang tersendiri," kata Khairul. Untuk rekod Amirrudin Abd Rahman, muncul juara pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2011 Kategori Nusantara. Dalam pada itu Khairul juga sempat menitipkan sepotong perumpamaan sebagai satu bentuk teguran kepada Zhiddin. ARTIKEL BERKAITAN: Tidak penuhi kriteria punca anak arwah Aziz Desa tak naik pentas... Penganjur rahsia pemenang sebelum majlis ARTIKEL BERKAITAN: Anak arwah Aziz Desa tunjuk bukti dihubungi penganjur APBN, siap minta gambar HD... Disuruh ikut garis panduan foto pemenang anugerah "Bak kata pepatah, gelagah buah rambutan, orang berbunga dia berbunga, orang berbuah dia tidak," ujar Khairul. Kata mutiara itu membawa maksud nasib seseorang yang berbuat sama seperti orang lain tetapi tidak beroleh sebarang manfaat. Menerusi video itu juga, Khairul berkongsi rakaman puisi disampaikan Zhiddin dan Amirrudin yang terbukti sama. Tidak mengapa, saya turunkan video... kalau diizinkan post video tu kembali, saya akan berikan kredit kepada nama tuan. ZHIDDIN AZIZ Terkesan dengan teguran berkenaan, Zhiddin yang juga pempengaruh sastera terkenal akhirnya tampil memohon maaf dan mengakui kesilapannya. "Maaf tuan, seikhlas hati saya hanya menyambut bahasa ilmu, sejujurnya tidak tahu siapa pemilik ayat ini kerana ia sering digunakan orang sekeliling saya. "Maka saya sering berpesan kepada yang bertanya, saya banyak belajar peribahasa dan ayat yang ada daripada orang sekeliling. Sebahagian komen warga maya. "Saya sangat bahagia apabila dapat tahu mana datang pokok puncanya. Saya pasti akan terus ingat nama abang (Khairul) untuk dijadikan rujukan. "Terima kasih abang kerana terus mewarnakan bahasa ilmu dalam kalangan saya dan rakan-rakan," tulis Zhiddin. Enggan membiarkan isu itu terus berpanjangan, Zhiddin segera memadam video dia menyampaikan nukilan berkenaan daripada akaun TikTok miliknya. "Tidak mengapa, saya turunkan video. Kalau diizinkan post video tu kembali, saya akan berikan kredit kepada nama tuan sebab dah tahu siapa pemiliknya. "Kacak rupanya orangnya," kata Zhiddin menutup bicara. Baru-baru ini Zhiddin yang merupakan finalis ABPN 2023 mencetuskan kontroversi apabila mendakwa anugerah bagi kategori Ikon Belia yang sepatutnya menjadi miliknya digugurkan pada saat akhir. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube