ADIK kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Tan Sri Mohamed Nazir Razak mencuri perhatian warga maya selepas gambarnya menyarung cincin dikongsikan di media sosial pada Jumaat. Menerusi gambar tular yang dikongsikan anak saudaranya, Norashman Najib, bekas Pengerusi CIMB Bhd (CIMB) itu mengenakan busana pengantin serba putih pada majlis pernikahan dengan wanita pilihan hatinya, Yati Zainuddin. Turut berkongsi kegembiraan di laman Instagram miliknya, Nazir Razak menyatakan apa yang dilaluinya ketika ini seolah-olah mengimbau kenangan mereka berdua pada pertengahan 1980-an. "Saya berkahwin hari ini dengan Yati Zainudin. "Kehidupan tidak dapat diramalkan. Kisah kami kembali ke pertengahan 1980-an ketika kami berdua belajar di UK. Walaupun saya berusaha sebaik mungkin, kami kekal sebagai kawan," coretnya. Nazir Razak menyarungkan cincin pada pasangannya Yati. -Gambar Instagram Nazir.Razak Tambah Nazir, beliau tidak pernah bermimpi akan bertemu jodoh dengan Yati yang merupakan seorang ahli perniagaan. "Kami kemudiannya menjalani kehidupan yang sangat asing, dia di New York selama 27 tahun. "Saya tidak pernah bermimpi bahawa laluan kita akan bertembung lagi, lebih-lebih lagi pada masa ini. "Takdir kini mempertemukan kami, syukur kerana masih ada masa untuk membina kehidupan baru sebagai pasangan," ujarnya. Beliau menzahirkan rasa syukur kepada Allah kerana diberi peluang mendirikan rumah tangga bersama insan dicintai. Mengakhiri hantaran di laman Instagram, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi ucapan. Yati merupakan seorang usahawan dan pengasas sebuah syarikat kosmetik. Untuk rekod Nazir pernah mendirikan rumah tangga dengan Azlina Aziz dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Bagaimanapun, pasangan itu dilaporkan sudah bercerai. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube