SELEPAS hampir 24 jam tular video rakaman perbualan lucah dengan seorang lelaki bernama Abdul Wahab Abdul Jilani, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff akhirnya tampil bersuara. Tegas bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu, rakaman berkenaan adalah tulen namun audio pada video berkenaan disunting sebelum disebarkan. "Saya nafikan... video itu sesuatu yang disunting dan saya diperangkap," katanya. Mohammad Agus berkata demikian pada sidang media khas yang turut dihadiri Wahab bagi menjelaskan tentang isu berkenaan pada Jumaat. Sementara itu Wahab yang baru memulakan tugas di J-KOM sejak 1 November lalu berkata, dia merupakan kambing hitam bagi memerangkap Mohammad Agus untuk tujuan tertentu. Dakwa Wahab, dia menerima arahan daripada seorang individu yang turut berkhidmat di dalam J-KOM dikenali sebagai ‘Mr H’ untuk berbuat demikian. "Saya menegaskan bahawa perbualan video tersebut disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjatuhkan kredibiliti Datuk Dr Agus. "Komplot untuk menjatuhkan Datuk didalangi individu berjawatan tinggi di dalam J-KOM sendiri yang saya namakan sebagai ‘Mr H’. "Saya diarahkan untuk membuat satu rakaman perbualan video bersama Datuk Agus bagi mendapatkan bukti beliau terlibat dalam aktiviti songsang dan tidak bermoral. "Hakikatnya video yang saya rakam adalah tidak mempunyai audio," kata Wahab membaca kenyataan media sambil ditemani peguamnya. [BERITA LANJUT MENYUSUL] Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube