TEMPOH kurang sebulan berkhidmat sebagai penolong pegawai di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) tidak membataskan individu bernama Wahab untuk sering berbalas panggilan video dengan ketuanya. Ujar Wahab atau nama lengkapnya Abdul Wahab Abdul Jilani, 33, dia dan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff kerap berbual menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp walaupun selepas waktu bekerja. Namun ujar Wahab yang sudah beristeri dan dikurniakan empat orang cahaya mata, perbualan antara mereka hanya secara santai tanpa melibatkan sebarang unsur lucah dan tidak senonoh. "Kami hanya berbual santai," katanya pada sidang media di Bangi, Selangor pada Jumaat malam. Terdahulu nama Wahab kecoh di media sosial selepas tersebarnya video perbualan lucah antara dia dan Mohammad Agus. Sidang media Agus dan Wahab di Bangi ditemani peguam kedua-dua pihak. Namun dakwa Wahab, audio pada video berkenaan disunting sebelum disebarkan bagi tujuan menjatuhkan kredibiliti bekas bosnya itu. Dakwa Wahab, dia menerima arahan daripada seorang individu yang turut berkhidmat di dalam J-KOM dikenali sebagai ‘Mr H’ supaya membuat rakaman berkenaan. Bercerita lanjut, Wahab berkata sungguhpun dia kerap berbual dengan Mohammad Agus, rakaman yang disebarkan itu adalah yang pertama dilakukannya. "Dah banyak kali video call dengan Datuk. Tapi ini video pertama yang saya record. "Tapi itu bukan perbualan yang sebenar, video tu panjang," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Agus diperangkap! Wahab dakwa ‘Mr H’ dalang video sembang lucah, sengaja kait aktiviti songsang Tambah Wahab, dia masih memakai baju ketika panggilan berkenaan dibuat sementara Mohammad Agus kelihatan terbaring di atas sofa. "Saya pakai baju," katanya menjawab soalan wartawan. Tangkap layar panggilan video antara Agus dan Wahab. Sementara itu Mohammad Agus berkata tindakannya melakukan panggilan video dengan Wahab yang baru bertugas di J-KOM sejak 1 November lalu adalah perkara biasa. Namun kata Mohammad Agus dia tidak mengingati secara spesifik topik sebenar yang dibualkan ketika rakaman secara sembunyi itu dibuat. "Allahuakbar... takkan nak cakap benda dalam katil. Perbualan yang santai-santai. Perbualan bapa dengan anak. "Tanya how are you, how was your family... your life. Wahab ni macam anak kecil je pun. Anak sulung saya lebih tua daripada Wahab. "Saya video call dengan everybody, nothing offence. Wahab ni naif, saya tak rasa sesuatu yang pelik," katanya. Menjawab soalan mengenai apa yang sebenarnya dibualkan apabila rakaman video yang tersebar itu menunjukkan aksinya mencium pada skrin telefon, Agus bagaimanapun berkata dia tidak mengingatinya. "Saya tak ingat, sangat specific. "Jika ya pun... saya tak rasa benda tu salah. Saya biasa cakap kepada semua orang, saya panggil sayang," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube