ERA digital telah bertapak di negara ini seiring dengan perubahan yang berlaku di peringkat global. Justeru, pelbagai bidang, institusi dan teknologi melalui transformasi untuk kekal berdaya saing dan merancakkan kemajuan landskap dunia moden. Ini termasuklah inisiatif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) yang terus komited mengatur strategi dalam memperkasa agenda pembangunan dalam pentadbiran percukaian, iaitu memperkenalkan pelaksanaan e-Invois. Apakah e-Invois? e-Invois merupakan representasi dalam bentuk digital bagi transaksi yang dilaksanakan antara penjual dan pembeli bagi menggantikan penggunaan dokumen kertas atau elektronik seperti dalam format pdf, jpeg, doc dan lain-lain. Ia mengandungi maklumat penting yang sama seperti dokumen tradisional seperti butiran penjual dan pembeli, keterangan item, kuantiti, harga tanpa cukai, cukai dan jumlah keseluruhan yang merekodkan data transaksi untuk operasi perniagaan harian. Pendek kata, pelaksanaan e-Invois merupakan salah satu inisiatif dalam meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kawalan pengurusan cukai serta kewangan. Kecekapannya terbukti apabila e-Invois telah diperkenalkan di beberapa negara sejak 2001 termasuk Chile, Brazil, Mexico, Denmark, Itali, Perancis, Arab Saudi, Mesir, Korea Selatan, Singapura dan China. Selari dengan pendigitalan, pentadbir percukaian di seluruh dunia sedang beralih ke arah e-Invois bagi pematuhan cukai terutamanya Centralised Clearance Model, iaitu model Continuous Transaction Control (CTC) memandangkan kesahihan data invois disahkan sebelum dikeluarkan kepada pembeli. Dijangka lebih 13 negara seperti Belgium, Jerman, Denmark, Bahrain dan Oman akan memperkenalkan Clearance Model menjelang 2027. e-Invois di Malaysia Pelaksanaannya akan melibatkan pengeluaran invois bagi transaksi perniagaan yang dilakukan antara perniagaan dengan perniagaan, perniagaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan pelanggan. Malaysia turut melalui transformasi era digital dalam pelbagai bidang seiring dengan perubahan yang berlaku di peringkat global. –Gambar hiasan Bukan sahaja melibatkan transaksi tempatan, malah pelaksanaan e-Invois ini turut melibatkan transaksi perniagaan luar negara. Ia akan menambah baik dokumentasi panduan dan rujukan pembayar cukai meliputi Garis Panduan Umum e-Invois (Versi 2.1) dan Garis Panduan Spesifik e-Invois (Versi 1.1). Garis Panduan Umum e-Invois (Versi 2.1) - mengandungi maklumat tambahan umum yang telah dikemaskini berhubung pelaksanaan inisiatif e-Invois Garis Panduan Spesifik e-Invois (Versi 1.1) - menerangkan secara khusus bagi transaksi tertentu seperti transaksi melibatkan pembeli, penyata atau bil yang disediakan secara berkala, pengeluaran dan bayaran balik serta perkuisit dan manfaat pekerja. Pembayar cukai boleh mengakses dan memuat turun garis panduan umum dan spesifik ini menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/e-invois/ Berikut adalah empat manfaat e-Invois: 1) Mengurangkan proses manual dan kesilapan 2) Memudahkan pengemukaan borang nyata 3) Meningkatkan kecekapan operasi 4) Mendigitalkan pelaporan percukaian dan kewangan Pelaksanaan e-Invois memberi manfaat ke arah meningkatkan tahap pematuhan cukai. Bagi memudahkan peralihan kepada e-Invois, pembayar cukai boleh memilih mekanisme yang paling sesuai untuk menghantar e-Invois kepada HASiL berdasarkan keperluan perniagaan mereka dan keadaan tertentu. Pembayar cukai boleh memilih sama ada untuk menggunakan Portal MyInvois atau API. Gambaran keseluruhan aliran kerja pelaksanaan e-Invois bermula daripada penyediaan e-Invois melalui Portal MyInvois atau API hingga ke proses penyimpanan dokumen e-Invois yang telah disahkan dalam pangkalan data HASiL untuk pembayar cukai melihat sejarah e-Invoisnya. Pelaksanaan e-Invois di Malaysia secara berperingkat Ini bagi memastikan pembayar cukai mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk menyediakan dan menyesuaikan diri dengan pelaksanaan e-Invois. Pertimbangan dan perancangan yang teliti telah dibuat dengan mengambil kira julat pendapatan atau jualan tahunan. Terdapat tiga fasa pelaksanaan e-Invois, di mana garis masa adalah seperti berikut: e-Invois akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan pembayar cukai mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk menyediakan dan menyesuaikan diri dengan pelaksanaan e-Invois. Ketika ini HASiL giat menjalankan jalinan kerjasama dengan pengamal percukaian dan badan profesional dalam menyediakan maklumat komprehensif berkenaan pelaksanaan e-Invois di Malaysia. Selain itu, sesi libat urus bersama dengan pengamal media, pempengaruh media dan pemain industri turut diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan awal dan mendapatkan maklum balas terus berkenaan strategi-strategi pemasaran yang boleh dilaksanakan bagi membantu HASiL dalam menyebarluas kepentingan e-Invois dalam konteks urusan percukaian negara. Secara tidak langsung, kumpulan ini mampu bertindak sebagai duta HASiL dalam menyampaikan maklumat percukaian kepada pembayar cukai yang berkaitan. HASiL juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia sebagai tanda menjalinkan kerjasama strategik bagi pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan. Melalui MoU ini, MDEC dan HASiL akan bekerjasama dalam menyelaraskan pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan dengan model pematuhan cukai di seluruh negara serta berkongsi status pelaksanaan dan rangka kerja berkenaan perancangan, strategi dan perkembangan berhubung pelaksanaan inisiatif tersebut. Penganjuran sesi libat urus dan jalinan kerjasama ini diharapkan dapat memberi gambaran yang jelas mengenai hasrat pihak kerajaan untuk menambah baik sistem percukaian negara dan mendorong kepada peningkatan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai di Malaysia. HASiL turut mengalu-alukan sebarang pandangan dan maklum balas berhubung pelaksanaan e-Invois yang boleh disalurkan menerusi e-mel rasmi [email protected]. Imbas Kod QR untuk mengetahui lebih lanjut mengenai e-Invois. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube