suria

Berhibur nak, tapi tiada sivik! Peminat hanya biar sampah berlonggok sebelum tengok konsert Coldplay

Sampah sarap di perkarangan SNBJ menjelang konsert Coldplay malam ini.

BAHANG kehangatan konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada malam ini semakin terasa.

Peminat tegar band rock alternatif popular British itu sudah mula membanjiri perkarangan SNBJ sejak awal pagi tadi meskipun pintu hanya akan dibuka pada pukul 5 petang.

Namun dalam keghairahan menyaksikan konsert tersebut, tindakan tidak bertanggungjawab sebahagian peminat yang meninggalkan sampah merata-rata amat mengecewakan dan mengundang kecaman warga maya.

Menerusi video berdurasi sembilan saat yang dikongsikan di laman X @kaypohmedia, ia memaparkan situasi perkarangan SNBJ yang dipenuhi dengan sampah sarap yang ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Kelihatan botol dan tin minuman, pembungkus serta sisa makanan yang bersepah hanya dilonggok di tepi besi penghadang.

ARTIKEL BERKAITAN: Coldplay pun sokong Palestin... Anwar bincang dengan mufti isu desakan batal konsert

Tidak dapat dipastikan sama ada pihak penganjur sudah mengambil tindakan terhadap situasi berkenaan atau sebaliknya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya melontarkan kecaman kepada penonon konsert berkenaan malah menyifatkan tindakan tersebut hanya memalukan negara.

KOMEN COLDPLAY

Netizen mengecam tindakan tidak bertanggungjawab peminat band berkenaan.

"Berhibur nak, tapi sivik tak ada... sikap pengotor.

"Mentaliti sampah... kalau ada rasa tanggungjawab, dia cari tong dan pergi buang situ.

"Sangat tak bertanggungjawab yang mana kebanyakannya generasi muda.

"Coldplay melabur mahal untuk mesin collect sampah dekat Sungai Klang, korang tetap tak ada sivik," demikian antara komen netizen.

Untuk rekod, konsert Coldplay di Kuala Lumpur adalah yang julung-julung kalinya dianjurkan.

Selain Malaysia, beberapa negara Asia seperti Indonesia, Taiwan, Singapura, Thailand, Taiwan dan Jepun turut tersenarai sebagai sebahagian daripada konsert jelajah dunia mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain