suria

Sekolah antarabangsa di Selangor dan Kuala Lumpur terima ancaman bom

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan insiden ancaman bom. -Gambar The Star

BEBERAPA sekolah antarabangsa di sekitar Lembah Klang menerima ancaman bom pada Selasa.

Dilaporkan sebuah sekolah di Kajang, Selangor terpaksa dikosongkan selepas menerima hantaran emel menyatakan ancaman bom antara pukul 9.30 pagi dan 10 pagi.

Ibu bapa murid dimaklumkan dengan kadar segera untuk mengambil anak-anak mereka pulang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan insiden terbabit.

"Terdapat tujuh sekolah antarabangsa di Selangor di daerah Petaling Jaya, Shah Alam, Kajang, Subang Jaya, dan Kuala Langat yang menerima ancaman itu.

"Siasatan masih dijalankan tetapi ancaman tersebut dipercayai adalah palsu.

"Kami akan keluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden itu dalam masa terdekat ini,” kata Hussein ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengatakan dua sekolah antarabangsa di Wangsa Maju, Kuala Lumpur turut menerima ancaman sama melalui hantaran emel.

Unit Pemusnah Bom sudah dipanggil untuk melakukan pemeriksaan.

"Kami baru menerima laporan tentang insiden itu dan pihak kami sedang menjalankan siasatan," katanya.

Sementara itu di George Town, Pulau Pinang, dua buah sekolah antarabangsa di daerah Timur Laut turut menerima ugutan bom melalui emel dipercayai pengirim yang sama.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi di Tanjong Tokong.

Manakala satu lagi laporan pada pukul 12.27 tengah hari di Jalan Dato Keramat, Pulau Pinang.

“Kedua-dua sekolah menerima kandungan emel yang sama pada hari ini daripada penghantar emel yang sama.

“Emel yang dihantar bertajuk bahan letupan telah ditanam di sekolah.

"Dan kandungan emel menceritakan penghantar emel mengalami masalah hidup di mana dibenci oleh orang sekeliling, ayah merogolnya sejak kecil dan dihina di sekolah,” jelasnya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain