suria

Suspek dikenal pasti, polis buru lelaki naik kereta T20 tapi kencing di tiang parkir mall

Tangkap layar video seorang lelaki kencing di tiang.

POLIS kini mengesan seorang lelaki yang berkelakuan tidak bermoral dengan kencing di tiang parkir bawah tanah (basement) sebuah pusat beli belah, sebagaimana dalam video yang tular.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada Khamis lalu dan suspek merupakan lelaki warga tempatan.

Menurutnya, kejadian berlaku di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di Subang Jaya.

"Kes diklasifikasikan sebagai kelakuan aib di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

"Suspek telah dikenal pasti dan masih dikesan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Naik kereta T20 tapi kencing di tiang parkir mall! Pelaku sempat ‘bye bye’ selepas ditegur

Sehubungan itu, Wan Azlan menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan aib dan kegusaran kepada orang awam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (pusat kawalan daerah subang jaya).

"Mereka juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Norhishamuddin Hamdan di talian 010- 2494819, segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya lagi.

Terdahulu, tular video mengenai seorang lelaki yang membuang air kecil di tiang, dan segera berlalu pergi apabila ditegur oleh seorang wanita kerana melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

Dia dilihat hanya berkata ‘sorry’ selepas dimaklumkan di situ terdapat tandas, sambil bergerak ke kereta jenis Mazda 3 yang diparkir berhampiran.

Seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan, dia yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian depan sempat melambai kepada wanita berkenaan sambil kereta bergerak meninggalkan kompleks beli belah tersebut.

Perbuatan biadab itu mengundang kecaman netizen dengan rata-ratanya menyelar sikap lelaki terbabit yang menyebabkan sesetengah kawasan menjadi kotor dan busuk.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain