suria

Coldplay pun sokong Palestin... Anwar bincang dengan mufti isu desakan batal konsert

Anwar menjawab mengenai isu penganjuran konsert Coldplay, di Dewan Rakyat.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah berhubung isu penganjuran konsert kumpulan Coldplay yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Beliau berkata, Coldplay merupakan antara kumpulan yang menyokong Palestin dan terdapat pelobi dari gerakan Palestin mempersoalkan tentang bantahan terhadap penganjuran konsert tersebut.

"Jadi ada masalah sikit saya nak beritahu, dalam kerajaan yang lalu telah luluskan (konsert) juga. Saya akan bincang dengan mufti (berhubung) keadaan ini.

"Kerana ada pelobi dari gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) dan kepada pejabat saya mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan.

"Oleh kerana perkara ini dibangkitkan, kerana beberapa isu lain yang tidak kita setuju, kita akan bincang semula," katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung pendirian kerajaan dalam penganjuran konsert tersebut, berikutan Luqman meminta supaya penganjuran konsert itu tidak diteruskan kerana disifatkan sebagai melalaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis Ulama ISMA desak konsert Coldplay dibatal, hormati kesedihan terhadap rakyat Palestin

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi desakan batal konsert Coldplay, penganjurannya boleh undang murka Allah

Terdahulu, Luqman menasihatkan orang ramai tidak memberi sokongan kepada penganjuran konsert berkenaan yang dikatakan jelas bertentangan nilai murni dan budaya di negara ini.

Malah, beliau turut menasihatkan penganjur konsert berkenaan untuk tidak meneruskan penganjuran program yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Rabu.

"Bagi masyarakat Islam, perlu difahami hiburan dalam Islam ada batasan yang perlu dipatuhi dan mana-mana jenis hiburan terkeluar daripada batasan ini adalah bertentangan dengan hukum syarak.

"Lebih-lebih lagi, kumpulan muzik ini dikaitkan dengan kumpulan tidak bermoral yang mempromosikan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender)," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Selain Mufti Wilayah Persekutuan, turut menggesa supaya penganjuran konsert itu dibatalkan adalah Pengerusi Majlis Ulama ISMA (Muis), Datuk Zamri Hashim yang juga Timbalan Mufti Perak.

Zamri berkata, penganjurannya dilihat tidak sensitif dengan peperangan yang berlaku di Gaza, Palestin ketika ini yang meragut puluhan ribu nyawa.

Menurut beliau, ia adalah sangat bertentangan dengan nilai agama dan persaudaraan sesama Islam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain