suria

Jatuh dalam sungai di belakang rumah, bayi 18 bulan korban banjir pertama di Kelantan

Mangsa berjaya dijumpai oleh pasukan Bomba pada jam 1.40 petang.

MALANG tidak berbau.

Seorang kanak-kanak lelaki menjadi korban pertama banjir di Kelantan tahun ini selepas mangsa tergelincir ke dalam sungai di belakang rumahnya di Kampung Kenari, Kota Bharu.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, pihaknya menerima laporan tentang kejadian melibatkan kanak-kanak berusia 18 bulan itu pada pukul 12.17 tengah hari, Ahad.

“Kejadian melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun setengah telah hilang ketika melakukan aktiviti bermain di belakang rumah dan tergelincir di dalam sungai.

“Pasukan Bomba telah melakukan operasi pencarian dengan melakukan selaman di kawasan mangsa dipercayai lemas.

“Kanak-kanak itu berjaya dijumpai oleh pasukan Bomba pada jam 1.40 petang. Namun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujar Bomba menerusi satu kenyataan pada Ahad petang.

Mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Untuk rekod, 623 mangsa banjir menghuni empat pusat pemindahan sementara di Kelantan, setakat 3 petang Ahad.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain