suria

Remaja berkopiah mengaku tidak bersalah cuba tikam pemandu e-hailing, mak ayah teman datang mahkamah

Tangkap layar video tular kejadian pada Isnin.

SEORANG remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majisret Sungai Petani, Kedah pada Ahad atas tuduhan cuba merompak seorang pemandu e-hailing.

Remaja yang berusia 13 itu dilihat ditemani kedua-dua ibu bapanya ketika hadir di mahkamah.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan kes itu dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Dia yang masih bersekolah didakwa cuba melakukan rompakan ke atas Lee Ang Hie, 65, di tepi jalan Taman Keladi sekitar pukul 6 petang Isnin.

Tertuduh dibicarakan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

mStar sebelum ini melaporkan tentang video tular memaparkan seorang remaja berkopiah menikam seorang pemandu e-hailing dengan menggunakan sebilah pisau.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja berkopiah tikam pemandu e-hailing, mujur pisau terkena tali pinggang keledar!

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata punca kejadian adalah akibat rasa tidak puas hati kerana dimaki oleh pemandu berumur 65 tahun tersebut.

Dalam perjalanan ke destinasi di Bandar Sri Astana, remaja terbabit didakwa meminta untuk meminjam wang sebanyak RM50 bagi tujuan membayar sewa rumah.

Permintaan tersebut ditolak pemandu berkenaan yang kemudiannya mahu menurunkan remaja itu jika dia tidak mempunyai wang untuk membayar tambang.

Hasil siasatan mendapati, remaja lelaki itu adalah anak sulung daripada empat beradik dan bukan daripada kalangan keluarga bermasalah.

Ujian saringan awal air kencing mendapati remaja itu bebas pengaruh dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain