suria

Perkeso siasat serangan siber, jamin penggodam diheret ke muka pengadilan

Perkeso sedang giat menjalankan siasatan ke atas serangan siber yang berlaku pada Sabtu.. -Gambar hiasan GLENN GUAN/The Star

SIASATAN forensik, termasuk dakwaan pembabitan pihak tertentu di sebalik serangan siber terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang giat dijalankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berhubung kejadian itu.

Jelasnya, perbincangan itu bertujuan memperhalusi langkah-langkah diambil Perkeso, merangkumi empat perkara utama dalam menghadapi serangan siber yang dikesan bermula sekitar pukul 7 petang, Sabtu lalu.

"Empat perkara ini merangkumi pengaktifan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP); pengukuhan sistem komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) Perkeso; melakukan siasatan forensik dalaman serta pelaksanaan pelan komunikasi.

"Ketika ini, pihak berkuasa berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil Perkeso, namun tindakan susulan dan berterusan akan terus dilaksana dengan kerjasama rapat pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Runtuhan bangunan: Majikan bakal dikenakan tindakan, 5 pekerja asing tiada caruman Perkeso

"Selain itu, mesyuarat dengan MKN bersetuju untuk melakukan laporan polis sebaik hasil siasatan forensik dalaman mendapati ada eleman jenayah komersial," ujarnya dalam satu kenyataan.

Mohammed Azman berkata, butiran lanjut berhubung data yang didakwa dicuri dan dipaparkan di laman sesawang gelap (dark web) bagaimanapun belum boleh diperincikan kerana tertakluk kepada proses siasatan.

"Jaminan saya, siapa pun penggodam yang menjadi dalang di sebalik serangan siber ini akan diheret ke muka pengadilan kerana Perkeso tidak akan berkompromi dalam soal perlindungan data peribadi yang dijadikan kepentingan utama demi negara.

"Perkeso juga akan terus memperkukuh infrastruktur ICT dari semasa ke semasa, dengan panduan daripada NACSA, MKN dan agensi berkaitan serta amalan terbaik bagi memastikan tiada kelompongan sistem untuk dimanipulasi oleh anasir penggodam pada masa kini serta akan datang.

"Sementara itu, komitmen Perkeso ke arah menyalurkan bantuan dan faedah kepada kira-kira 573,000 penerima di seluruh negara setakat ini akan sentiasa diberi penekanan utama,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain