suria

Cikgu kaunseling noda murid, anak sendiri... Guru besar jumpa koleksi video lucah!

Kanak-kanak adalah golongan rentan di mana hak dan kepentingan mereka perlu dilindungi. -Gambar hiasan

SEORANG guru kaunseling sebuah sekolah rendah di Seremban, Negeri Sembilan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual terhadap murid lelakinya.

Perbuatan lelaki berusia 43 tahun itu terbongkar selepas penemuan beberapa video lucah dipercayai dirakam suspek ketika melakukan perbuatan menjijikkan tersebut terhadap mangsa.

Menurut sumber, turut ditemui adalah rakaman perbuatan terkutuk terhadap anak lelakinya sendiri yang dipercayai berlaku di rumah mereka.

"Guru besar sekolah terbabit sudah membuat laporan polis pada 5 Disember lalu berhubung penemuan beberapa kandungan video lucah salah laku gangguan seksual yang dilakukan suspek terhadap murid.

"Difahamkan turut dijumpai video yang memaparkan perbuatan salah laku seksual guru terbabit terhadap anak lelakinya sendiri," katanya pada Rabu.

Guru lelaki itu direman oleh Mahkamah Majistret, Seremban, pada pagi Rabu bagi membantu siasatan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan pihaknya menerima laporan kes berkenaan dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain