suria

Polis perjelas 3 individu ditahan di Apartmen Idaman

Polis melakukan proses pemeriksaan dari rumah ke rumah di Apartmen Idaman. -Gambar Bernama

TIGA individu yang ditahan polis di Apartmen Idaman di Damansara Damai, Selangor, tidak dikaitkan dengan siasatan membabitkan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan tiga individu telah ditahan, sambil menambah bahawa penahanan mereka kerana positif dadah.

“Kebetulan ketiga-tiga mereka didapati positif dadah ketika kami melakukan saringan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) secara besar-besaran (di Apartmen Idaman), jadi kami tahan mereka untuk menjalankan ujian saringan air kencing,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis bawa keluar dua kotak besar selepas periksa rumah ke rumah, dipercayai bahan bukti kes bunuh Zayn Rayyan

Hussein berkata, ketiga-tiga mereka tidak dikaitkan dengan siasatan membabitkan kes pembunuhan yang sedang dijalankan.

Mengenai siasatan kes pembunuhan, beliau memberitahu, beberapa barang yang dikesan sewaktu pemeriksaan dari rumah ke rumah mungkin dapat membantu penyiasat tetapi menambah bahawa analisis lanjut diperlukan.

“Kami perlu menganalisis semua penemuan ini dan kami masih mengumpul bukti yang mencukupi,” katanya.

Terdahulu, kotak besar dibawa keluar pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas kira-kira dua jam membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah di Blok R Apartmen Idaman, pada malam Selasa.

Difahamkan ia berisi bahan bukti bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang mayatnya ditemukan di saliran air dekat kawasan apartment itu pada 6 Disember lalu.

Dalam operasi berkenaan, lebih 25 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan pemeriksaan itu bermula sekitar pukul 8.40 malam dan berakhir kira-kira pukul 10.30 malam. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain